Melaka perkenal ‘Wakil Rakyat Untuk Rakyat’ bermula tahun depan

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

SERI NEGERI 11 Julai – Melaka akan memperkenalkan inisiatif terbaharu merakyatkan pentadbiran Kerajaan Negeri menerusi program ‘Wakil Rakyat Untuk Rakyat’.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, program tersebut berkonsepkan turun padang bagi mendengar denyut nadi rakyat, di mana pada setiap bulan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri akan diadakan secara berselang-seli di 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam negeri ini.

Jelas beliau, program yang dijangka bermula awal tahun depan itu bukan sahaja membabitkan wakil rakyat, bahkan turut merangkumi penglibatan agensi dan jabatan Kerajaan Negeri.

“Menerusi program ini, mesyuarat Exco akan diadakan berselang-seli iaitu minggu pertama di Seri Negeri, diikuti minggu kedua di kawasan Japerun DUN dan begitulah seterusnya.

“Penjadualan mengenai kawasan DUN terlibat sedang disusun atur, di mana, ia akan membabitkan setiap kawasan Parlimen berbeza pada setiap dua minggu bagi memudahkan dari sudut logistik dan kesiapsiagaan jabatan serta agensi terlibat.

“Program ini diadakan bertujuan untuk membantu rakyat-rakyat di setiap kawasan DUN menyelesaikan segala permasalahan, sama ada dari segi hal ehwal tanah, keperluan infrastruktur dan pelbagai lagi yang dapat merakyatkan pentadbiran Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Persidangan Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-15, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Azhar Arshad.

Mengulas lanjut, Ab Rauf memaklumkan, menerusi program itu juga akan diadakan Hari Bertemu Rakyat di kawasan terlibat, di mana Ketua Menteri tidak lagi diekori Exco-Exco Kerajaan Negeri.

Sebaliknya, jelas beliau, setiap Exco akan menguruskan portfolio masing-masing dan berjumpa kelompok sasaran mereka.

“Seperti contoh portfolio sukan atau pertanian, Exco-Exco ini bersama jabatan dan agensi perlu mengumpulkan kampung-kampung terlibat di kawasan DUN tersebut untuk menyelesaikan segala isu berbangkit.

“Begitu juga Ketua Menteri yang turut mempunyai portfolio sendiri untuk membantu rakyat di sesuatu kawasan, sebab itulah program ini dinamakan Wakil Rakyat Untuk Rakyat,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

303
Kongsi :
Previous post Melaka tubuh Undang-Undang Kecil tambah baik perkhidmatan beca
Next post Melaka kenal pasti 6 lokasi parkir bertingkat
Ubah saiz-+=