Melaka tubuh Undang-Undang Kecil tambah baik perkhidmatan beca

Masa Membaca:59 Saat

SERI NEGERI 11 Julai – Undang-Undang Kecil berkaitan perkhidmatan beca ditubuhkan bagi menambah baik mutu perkhidmatannya sebagai duta pelancongan negeri.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, undang-undang itu mampu menyelaraskan perkhidmatan beca, sekali gus membantu pengayuh beca menjana pendapatan.

Jelasnya pelbagai aspek penambahbaikan dapat dilaksanakan dengan undang-undang kecil itu, antaranya membantu menyelaras kadar harga yang ditetapkan, selain memastikan pengayuh beca memiliki lesen disahkan serta pelbagai lagi.

“Undang-Undang Kecil ini telah diluluskan pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) agar ia diselaraskan supaya ada peraturan ditetapkan antara Kerajaan Negeri dan pengayuh beca.

“Kita tidak mahu ada pergeseran atau saingan yang tidak sihat kepada golongan ini dan akan membantu pengayuh beca untuk menambah baik perkhidmatan mereka menjana pendapatan dalam industri pelancongan negeri.

“Penambahbaikan ini juga dapat memastikan keselamatan pelancong malah undang-undang ini akan merangkumi pengwujudan stesen penarik beca, laluan yang akan digunakan bagi membantu atasi masalah kesesakan lalu lintas dan penyelarasan caj yang dikenakan kepada pelancong,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Persidangan Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-15, di sini, hari ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

148
Kongsi :
Previous post Politeknik baharu Melaka di DUN Kuala Linggi
Next post Melaka perkenal ‘Wakil Rakyat Untuk Rakyat’ bermula tahun depan
Ubah saiz-+=