Sorting by

×

MELAKA PERKUKUH KOMITMEN TERAJUI TRANSFORMASI BANDAR

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

BANDARAYA MELAKA 12 Julai – Kerajaan Negeri komited memacu transformasi bandar secara inklusif dan mampan menerusi Program Vibrant Melaka Conference Edisi Kedua.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, program yang berlangsung selama tiga hari itu disertai lebih 200 peserta dari pelbagai bidang dan latar belakang.

Katanya, bertemakan ‘Bridging Technology and Community for Urban Sustainability’, edisi 2025 memberi tumpuan kepada usaha merapatkan jurang antara kemajuan teknologi dan kesejahteraan komuniti dalam menghadapi cabaran urbanisasi masa hadapan.

“Lebih 200 peserta daripada pelbagai sektor termasuk kerajaan, swasta, akademik, wakil komuniti dan antarabangsa menyertai persidangan ini.

“Mereka berkongsi idea, pandangan serta pengalaman berkaitan dasar, perancangan dan tadbir urus bandar yang progresif dan responsif terhadap keperluan semasa.

“Perbincangan merentas pelbagai disiplin itu memperlihatkan bahawa isu urbanisasi moden menuntut pendekatan kolaboratif yang menyatukan teknologi, dasar dan aspirasi rakyat dalam satu ekosistem transformasi yang menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh seterusnya menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup dan Makan Malam Vibrant Melaka Conference di sebuah hotel, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Low Chee Leong; Timbalan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Leng Chau Yen; Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Tuminah Kadi@Mohd Hashim; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman dan kenamaan lain.

Pada majlis tersebut, Fairul Nizam turut mewakili Ketua Menteri menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Memorandum (MoU) du antara MBMB bersama tiga wakil institusi tempatan.

Mengulas lanjut, Fairul Nizam berkata, penganjuran persidangan seumpama itu dilihat bukan sekadar medan wacana, sebaliknya perlu diperluas dan diperkukuh sebagai pemacu penyelarasan dasar serta pencetus kerjasama rentas sektor ke arah inisiatif berimpak tinggi.

Jelasnya, usaha untuk menjadikan Vibrant Melaka Conference sebagai acara tahunan negeri disifatkan sebagai langkah tepat dan strategik dalam mengekalkan momentum transformasi tersebut.

“Persidangan ini juga dilihat mampu memperkukuh peranan Melaka sebagai pusat wacana utama pembangunan bandar mampan di peringkat nasional dan serantau.

“Kerajaan negeri yakin bahawa platform seperti Vibrant Melaka Conference berpotensi menjadi pemacu kepada pelan tindakan yang praktikal, inklusif dan berpaksikan realiti rakyat agar manfaatnya dapat dirasai secara menyeluruh oleh seluruh komuniti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

303
Kongsi :
Previous post MBMB PERKENAL TEMPAHAN BECA DALAM TALIAN MELALUI I-TRAFFIC
Next post PAKEJ ‘SUNSET CRUISE’ TAWAR SUASANA ROMANTIK DAN SANTAI