
MELAKA PERLUAS JARINGAN PELANCONGAN KE TIMUR TENGAH
AYER KEROH 6 Mei – Melaka terus memperluas capaian pelancongan ke pasaran antarabangsa menerusi penyertaan di dua acara berprestij iaitu Malaysia Travel Mart dan Malaysia Night yang berlangsung di Dubai, Emiriah Arab Bersatu dan Jeddah, Arab Saudi.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, kedua-dua acara itu menjadi medan strategik untuk Melaka memperkenalkan produk pelancongan bertaraf dunia kepada pemain industri dari rantau Timur Tengah.
Jelas beliau, ia juga selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri menarik lebih ramai pelancong berprofil tinggi ke negeri bersejarah.
“Program ini menghimpunkan pelbagai pemain industri pelancongan seperti syarikat penerbangan, pengendali pelayaran, ejen pelancongan dan penyedia pakej eksklusif dari negara-negara Teluk.
“Melaka mengambil peluang ini untuk mengetengahkan kekuatan pelancongan berasaskan warisan, kebudayaan dan pengalaman eksklusif yang sesuai untuk pasaran Timur Tengah,” katanya pada satu hantaran di Facebook rasmi beliau.
Terdahulu, kedua-dua acara itu telah dirasmikan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing dan turut dihadiri Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Manoharan Periasamy.
Menurut Abdul Razak, lebih membanggakan, dalam acara itu juga, Melaka telah diumum dan diuar-uarkan sebagai tuan rumah sambutan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2025, sekali gus memperkukuh kedudukan negeri ini sebagai destinasi pelancongan global.
“Pengumuman ini memberi publisiti awal dan meningkatkan minat industri terhadap Melaka sebagai pusat tumpuan antarabangsa menjelang acara tersebut.
“Tidak hanya itu, penyertaan ini turut mencerminkan iltizam Melaka dalam memperkukuh kerjasama pelancongan serantau dan antarabangsa sempena kempen Tahun Melawat Melaka dan Tahun Melawat Malaysia 2026 yang bakal tiba,” katanya.
Tambah Abdul Razak, pada acara itu juga Melaka telah menyumbang hadiah cabutan bertuah menerusi penajaan penginapan 3 hari 2 malam oleh Baba House Melaka dan ParkRoyal A’Famosa Melaka Resort.
Jelasnha, ia sebagai langkah promosi langsung dan seterusnya memperkenalkan pengalaman pelancongan menarik di Melaka kepada pelancong berpotensi dari Timur Tengah.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.