Melaka, PJ City kongsi satu mata

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

KELAB Bolasepak Melaka United (Melaka United FC) terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata dengan Petaling Jaya City FC (PJ City FC) selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam aksi di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Kedua-dua pasukan bagaimanapun terpaksa bekerja keras untuk meraih satu berharga itu apabila saling ketinggalan di setiap babak.

Dalam aksi itu, Melaka United selaku tuan rumah dilihat lebih kerap menggasak ke kubu pelawat bagi mencari gol pembukaan sebaik wisel permulaan dibunyikan.

Asakan demi asakan berjaya membuahkan hasil apabila Emmanuel Oti menyumbat gol pertama perlawanan pada minit ke-36.

Gol itu terhasil selepas Oti yang menerima hantaran Ifedayo Olusegun berjaya menewaskan tiga pemain pertahanan lawan sebelum merembat masuk gol pembukaan.

Namun, kegembiraan Melaka tidak kekal lama apabila kesilapan pemain pertahanan mengeluarkan bola membuka peluang kepada penyerang PJ City, Darren Lok mengikat kedudukan 1-1 seminit sebelum tamat separuh masa pertama.

Bersambung di babak kedua, PJ City berjaya di depan pada minit ke-64 menerusi jaringan K Gurusamy yang merembat masuk bola dari luar kotak penalti.

Tuan rumah yang tersentak dengan gol itu kembali memperkemaskan permainan untuk mengikat semula kedudukan.

MELAKA – 20 JULAI 2022, Pemain Melaka United FC, Ifedayo Olusegun Patrick Omosuyi (tengah) bersaing dengan dua pemain PJ City FC, Prabakaran Kanadasan (kanan) dan Filemon Anyie Standly (kiri) dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam ini. Foto: MR. AZLI

Hasilnya, Sony Norde berjaya menyumbat gol kedua Melaka pada minit ke-76 menerusi rembatan lencong menewaskan Kalamullah Al-Hafiz.

Di minit-minit akhir permainan, kedua-dua pasukan terus rancak menyerang bagi mencari gol penyamaan.

Namun, tiada lagi gol terhasil selepas pengadil meniupkan wisel penamat sekali gus menyaksikan kedua-dua pasukan berpuas hati berkongsi satu mata.

Sabtu ini, Melaka United dijadual bertemu Johor Darul Ta’zim dalam aksi suku akhir Piala FA yang akan berlangsung di Stadium Hang Jebat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2550
Kongsi :
Previous post Liga Super dikembalikan, Liga Premier dihentikan sementara bermula 2023
Next post Pastikan internet laju
Ubah saiz-+=