
MELAKA RAIH TUJUH PENARAFAN PENGURUSAN ADUAN AWAM
AYER KEROH 1 Oktober – Kecekapan pengurusan aduan awam Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Melaka mendapat pengiktirafan menerusi tujuh kategori penarafan dalam pelaksanaan Naziran Pengurusan Aduan Awam bagi tahun 2025.
Tujuh kategori berkenaan adalah Kecekapan Respons Awam, Kecekapan Penyampaian Perkhidmatan, Pemerkasaan Kompetensi Pengurusan Aduan, Kecekapan Proses Kerja, Tadbir Urus Pengurusan Aduan, Komunikasi Awam Strategik dan Keunggulan Inovasi Digital.
Sijil pengiktirafan berkenaan diterima Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Salhah Salleh yang disampaikan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dalam Majlis Apresiasi Penarafan Pengurusan Aduan Awam di Putrajaya, hari ini.

Dari 14 Mei hingga 30 Julai lalu, Biro Pengaduan Awam (BPA), Jabatan Perdana Menteri telah melaksanakan naziran terhadap 13 Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri bagi menilai tatacara dan prestasi pengurusan aduan serta mencadangkan penarafan pengurusan aduan yang terbaik.
Daripada penilaian itu, lima negeri menerima tujuh penarafan iaitu Melaka, Sarawak, Perak, Selangor dan Kedah.
Manakala Pahang, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Kelantan pula masing-masing merekodkan enam penarafan, sementara lima penarafan diterima Terengganu, Johor, Perlis dan Sabah.
Pencapaian itu membuktikan usaha Pentadbiran SUK Melaka dalam memastikan pengurusan aduan rakyat dilaksanakan secara sistematik dan responsif, selain memperkukuh kecekapan proses kerja serta tadbir urus penyampaian perkhidmatan awam.
Ia turut mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri Melaka dalam memastikan setiap maklum balas dan aduan rakyat diberi perhatian serta tindakan sewajarnya, selaras dengan usaha meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan awam.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


