
MELAKA SAMBUT BAIK PENGHARGAAN PM UNTUK RAKYAT MALAYSIA
SERI NEGERI 23 Julai – Kerajaan Negeri sambut baik lima pengumuman berkaitan inisiatif rakyat yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, antara inisiatif yang diumumkan termasuklah Sumbangan Asas Rahmah (SARA) untuk semua rakyat Malaysia berupa bantuan tunai one-off RM100 bersempena Hari Kebangsaan 2025.
Selain itu, Ab Rauf berkata, turut diumumkan penggandaan peruntukan Program Jualan Rahmah MADANI kepada RM600 juta, petrol RON95 turun kepada RM1.99 seliter, penangguhan kenaikan kadar tol serta peningkatan bantuan kebajikan rakyat.
Katanya, langkah-langkah tersebut membuktikan keprihatinan Kerajaan Persekutuan dalam menangani tekanan kos sara hidup serta memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.
“Kerajaan Negeri turut menyambut baik pengisytiharan cuti umum tambahan sempena Hari Malaysia pada 15 September 2025, selain peluasan program Sejati MADANI, Kampung Angkat dan Sekolah Angkat yang disifatkan selari dengan usaha negeri dalam memerangi kemiskinan pendidikan dan sosial secara menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucapan penggulungan pada hari terakhir Persidangan Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata Melaka akan terus menjadi rakan strategik Kerajaan Persekutuan dalam menjayakan dasar-dasar rakyat.
“Justeru, segala inisiatif ini akan diperkasakan pelaksanaannya di peringkat negeri agar manfaatnya sampai tepat, cepat dan menyeluruh kepada warga Melaka,” tambahnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.