
MELAKA SEDIA JADI TUAN RUMAH TERBAIK SAMBUTAN HARI LANDSKAP NEGARA 2026
SERI NEGERI 14 Julai – Melaka bakal jadi tumpuan negara apabila dipilih menjadi tuan rumah bagi sambutan Hari Landskap Negara (HLN) 2026 yang akan berlangsung 6 hingga 9 Ogos depan di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, sambutan selama empat hari itu bakal diwarnai dengan pelbagai pengisian dan program menarik, sekali gus menjadi antara acara berskala besar dianjurkan di Melaka pada tahun ini.
Jelas beliau, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) bakal menjadi hos bagi sambutan itu, di mana ia mendapat kerjasama Jabatan Landskap Negara, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.
“Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh kerana memilih DUN Paya Rumput sebagai venue utama sambutan Hari Landskap Negara 2026.
“Ucapan penghargaan juga kepada KPKT dan Jabatan Landskap Negara kerana memilih Melaka sebagai tuan rumah bagi penganjuran kali ini. Ia merupakan satu penghormatan besar kepada negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Persidangan Kedua, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.
Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput berkata, sambutan berprestij itu dijangka menghimpunkan penyertaan daripada pelbagai pihak berkuasa tempatan dari seluruh negara, sekali gus memberi limpahan ekonomi dan mempromosikan Melaka sebagai destinasi pelancongan serta penganjuran acara bertaraf kebangsaan dan antarabangsa.
Beliau juga optimis dan berazam untuk menjadikan sambutan di Melaka sebagai antara penganjuran terbaik pernah diadakan.
“Kita akan memastikan sambutan ini menjadi kenangan manis buat semua pengunjung dan delegasi yang hadir ke Melaka. Pelbagai acara berkaitan landskap dan program menarik sedang dirancang dan akan diumumkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Tambah beliau, kemuncak Sambutan Hari Landskap Negara 2026 dijangka akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 7 Ogos depan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


