Sorting by

×

PENDIDIKAN ALIRAN AGAMA MELAKA CEMERLANG

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

SERI NEGERI 14 Julai – Pencapaian pendidikan aliran agama di Melaka terus menunjukkan prestasi membanggakan apabila kesemua 10 sekolah aliran agama di negeri ini mencatat kelulusan 100 peratus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, kejayaan itu membuktikan kecemerlangan berterusan institusi pendidikan agama hasil komitmen guru, pelajar serta sokongan pelbagai pihak.

Menurutnya, daripada keseluruhan 24 sekolah yang mencatat keputusan lulus 100 peratus dalam SPM 2025, 10 daripadanya merupakan sekolah aliran agama.

“Saya amat berbangga dengan pencapaian pendidikan, khususnya aliran agama di Negeri Melaka yang menunjukkan pencapaian cemerlang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Utama Sulaiman Md. Ali (BN-Lendu) mengenai pendidikan agama yang menjadi keutamaan Kerajaan Negeri pada Persidangan Kedua, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Rahmad berkata, pencapaian cemerlang itu turut disokong oleh prestasi peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) apabila seramai 13 calon memperoleh keputusan Mumtaz tahun lalu berbanding hanya seorang calon tahun sebelumnya.

Katanya, walaupun sekolah aliran agama mencatat prestasi akademik yang membanggakan, kerajaan negeri tidak memandang ringan isu disiplin yang turut berlaku di sekolah-sekolah lain.

“Isu salah laku dan disiplin bukan hanya berlaku di sekolah aliran agama, sebaliknya sekolah lain juga berdepan cabaran yang sama.

“Justeru itu, Kerajaan Negeri bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) menubuhkan pasukan petugas khas (task force) bagi menjalankan lawatan serta pemeriksaan mengejut di sekolah dan asrama,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

348
Kongsi :
Previous post ADUN LANTIKAN PERKUKUH KETERANGKUMAN DUN MELAKA
Next post MELAKA SEDIA JADI TUAN RUMAH TERBAIK SAMBUTAN HARI LANDSKAP NEGARA 2026