
MELAKA TELITI CADANGAN LAKSANA CUKAI PROGRESIF TANAH TERBIAR
SERI NEGERI 23 Julai – Kerajaan Negeri akan meneliti cadangan pelaksanaan Cukai Progresif Tanah Terbiar ke atas tanah milik persendirian yang tidak dimajukan serta terbiar selepas suatu tempoh tertentu.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, perkara itu boleh dilaksanakan seperti termaktub dalam Kanun Tanah Negara (Akta 828), tiada pengkelasan khusus yang digariskan bagi ciri-ciri atau kriteria-kriteria tanah yang tidak dimajukan serta terbiar.
Bagaimanapun, beliau berkata, hal tanah adalah di bawah bidang kuasa sesuatu Kerajaan Negeri berdasarkan Perkara 74 serta Jadual Kesembilan (Senarai Negeri) dalam Perlembagaan Persekutuan, justeru Kerajaan Negeri akan meneliti dan pertimbangan sewajarnya perlu diberikan ke atas semua faktor serta pemegang taruh yang terlibat.
“Ia perlu diteliti serta diperhalusi memandangkan Pindaan Cukai Tanah baru sahaja dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Melaka pada tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan tambahan Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali (BN-Lendu) pada Persidangan Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas di Seri Negeri, di sini, hari ini.
Menurut Ketua Menteri, bagi memastikan bilangan tanah-tanah terbiar di negeri ini tidak meningkat, Kerajaan akan terus komited mengambil inisiatif untuk membantu pemilik-pemilik tanah terbiar yang mempunyai kekangan serta di luar kemampuan melibatkan penglibatan langsung jabatan serta agensi Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Jelas beliau, inisiatif itu boleh diberi dalam bentuk khidmat nasihat, bantuan teknikal dan pewujudan pasukan petugas khusus (task force) melibatkan permasalahan pembangunan tanah-tanah terbiar di Negeri Melaka.
“Kerajaan Negeri juga sentiasa menjalinkan kerjasama strategik dengan agensi Kerajaan Persekutuan yang berkaitan dalam mengenal pasti ruang serta peluang untuk mempercepatkan proses-proses yang melibatkan peruntukan perundangan Persekutuan seperti pentadbiran dan pembahagian harta pusaka, terutamanya berkaitan harta pusaka kecil dan harta berwasiat serta tidak berwasiat.
“Justeru bagi mengurangkan statistik tanah-tanah terbiar di Negeri Melaka, pemilik-pemilik tanah tersebut haruslah tampil ke hadapan serta bersedia untuk bekerjasama dan memenuhi keperluan-keperluan teknikal yang ditetapkan berdasarkan peruntukan perundangan yang berkuatkuasa bagi memastikan sebarang perancangan mahupun pelaksanaan pembangunannya pada masa hadapan adalah teratur,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.