Melaka terima peruntukan RM7.54 juta atasi banjir

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

AYER KEROH 8 April. – Melaka menerima peruntukan RM7.54 juta daripada Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) bagi mengatasi banjir kilat yang kerap berlaku membabitkan beberapa kawasan di negeri ini.

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, peruntukan menerusi Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) itu melibatkan 84 kerja-kerja jangka pendek yang merangkumi projek-projek kecil bagi kerja pemuliharaan sungai dan mengurangkan risiko banjir.

Katanya, antara skop kerja di bawah peruntukan berkenaan termasuklah pengukuhan tebing sungai, penggaluran sungai bagi sistem sokongan kawalan banjir dan menaik taraf struktur berkaitan sungai membabitkan Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin.

“Alhamdulillah menerusi kesemua 84 projek itu, fokus utama kita ialah untuk mengurangkan risiko banjir menerusi penyelenggaraan sungai-sungai dan perparitan yang sering menjadi punca berlakunya banjir kilat.

“Jadi, untuk projek-projek ini, kita telah laksanakan sistem undian yang mana ia bertujuan untuk menjadikan projek lebih telus selain mempercepatkan pelaksanaan kerja dan pada masa sama membantu kontraktor bumiputera kelas G1 dalam menjana semula ekonomi akibat daripada pandemik COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Undi Perdana kerja-kerja di bawah peruntukan KASA bagi Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa (MITC), di sini, hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Daerah, Luar Bandar dan Pengurusan Banjir negeri Datuk Seri Utama Ir. Idris Haron dan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka Abd Hakim Hamzah.

Dalam majlis itu 1,214 kontraktor mengambil bahagian iaitu 574 kontraktor dari daerah Melaka Tengah, 327 kontraktor dari Jasin dan 311 (Alor Gajah) dengan proses undian itu disiarkan secara langsung menerusi Facebook JPS Melaka.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim memaklumkan selain projek mengatasi banjir dalam tempoh jangka masa pendek, pihak kementerian turut meluluskan peruntukan RM600 juta bagi menaik taraf Kolam Tebatan Banjir Krubong-Durian Tunggal.

Jelasnya, kolam tebatan banjir berkenaan bakal dinaik taraf sebagai kolam dwifungsi yang bukan sahaja untuk tebatan banjir bahkan sebagai sumber air Melaka.

“Konsep projek ini adalah mengintegrasikan air banjir dengan bekalan air dan ia mampu meningkatkan kapasiti air mentah di Melaka,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

837
Kongsi :
Previous post Elak guna bubu naga tangkap ikan atau berdepan tindakan
Next post Bapa mentua Ketua Menteri meninggal dunia
Ubah saiz-+=