Elak guna bubu naga tangkap ikan atau berdepan tindakan

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

JASIN 8 April. – Tindakan tegas bakal dikenakan terhadap mana-mana nelayan yang didapati masih menggunakan bubu naga bagi kegiatan menangkap ikan di negeri ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, masih ada segelintir nelayan menjalankan kegiatan penangkapan ikan menggunakan peralatan itu, meskipun penggunaannya diharamkan Jabatan Perikanan Malaysia mulai 1 November 2018.

“Sebenarnya penguat kuasa melalui Jabatan Perikanan dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) memang sentiasa jalankan rondaan.

“Kita dah larang dan harap supaya nelayan jangan gunakan lagi peralatan ini,” katanya.

SEBAHAGIAN peniaga yang hadir pada program tersebut di Dewan MPJ Lipat Kajang, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Malaysia Prihatin dan Pembudayaan Norma Baharu Peniaga Tahun 2021 di Dewan MPJ Lipat Kajang di sini, hari ini.

Jelasnya, di Melaka kawasan Pulau Besar telahpun diwartakan sebagai kawasan larangan penangkapan ikan sejak 1997 lagi.

“Ia masih berkuat kuasa bagi memastikan tempat pembiakan ikan ini akan sentiasa terpelihara.

“Kita terpaksa ambil tindakan tegas jika masih buat aktiviti tersebut, bagaimanapun kita harap nelayan-nelayan ini sentiasa bekerjasama dengan kita.

“Apa juga cara penangkapan yang dilarang jangan kita gunakan kerana kita nak mendapatkan rezeki yang lebih dan boleh melanggar peraturan,” katanya lagi.

Untuk rekod pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan kaedah tidak dibenarkan.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Datuk Wira Ghazale Muhammad dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Datin Sapiah Haron.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

806
Kongsi :
Previous post ‘Syukur, Allah pilih saya dan keluarga’
Next post Melaka terima peruntukan RM7.54 juta atasi banjir
Ubah saiz-+=