‘Syukur, Allah pilih saya dan keluarga’

Masa Membaca:2 Minit, 24 Saat

BEMBAN 8 April. – Hanya rasa syukur dan pujian kepada Allah SWT dapat diungkap pasangan suami isteri yang tinggal di Kampung Asam Kumbang, di sini, apabila menjadi penerima bantuan baik pulih rumah menerusi program MyHaus.

Norfaraliza Nordin, 38, bersama suami Azizi Abdul Hamid, 41, dan lima anaknya sebelum ini terpaksa tinggal di sebuah rumah dengan bumbung yang 80 peratus berlubang serta tidak mempunyai tandas yang sempurna.

Norfaraliza berkata, rumah itu dibina di atas tanah pusaka milik keluarga dengan modal sekitar RM60,000 hasil pinjaman bank oleh suaminya yang bekerja sebagai tukang kebun sekolah.

Namun, pembinaan itu sedikit tergendala ekoran masalah kesihatan yang dialami dua anaknya yang diuji dengan penyakit asma dan kerap perlu mendapatkan rawatan di hospital.

Disebabkan kekangan kewangan dengan gaji suaminya yang hanya berbaki RM600 sebulan (selepas ditolak pinjaman bank), mereka terpaksa mendiami rumah itu pada 2017 meskipun ibarat tinggal di rumah separuh siap.

Namun, dia yang juga penerima bantuan asnaf sejak 2016 bersyukur apabila kesusahan dia dan keluarga mendapat perhatian kerajaan apabila bukan sahaja rumah dibaik pulih, bahkan turut menerima bantuan perniagaan berbentuk kiosk bernilai RM12,000, modal pusingan perniagaan berjumlah RM4,500, komputer riba serta mesin bantuan pernafasan bernilai RM4,800 untuk kegunaan dua anaknya.

“Syukur Alhamdulillah. Allah SWT telah memilih kami sekeluarga untuk menerima sumbangan sebesar ini. Tiada apa mampu saya katakan selain mengucapkan syukur di atas semua bantuan yang diberikan.

“Selain baik pulih bumbung serta tandas rumah, kami juga menerima sebuah bilik baharu dan pelbagai lagi bantuan lain untuk kami meneruskan kehidupan.

“Insya-Allah dengan bantuan perniagaan yang diberikan saya akan memulakan perniagaan nasi impit bagi menyara kehidupan kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Penyerahan MyHaus di rumahnya.

Program penyerahan MyHaus itu telah disempurnakan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Sementara itu, Zulkifli yang ditemui memaklumkan proses baik pulih rumah keluarga asnaf disiapkan dalam tempoh sekitar dua bulan dengan kos baik pulih keseluruhan, RM25,900.

Katanya, meskipun berdepan sedikit kekangan apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) dilaksanakan pada Januari lalu, namun proses baik pulih itu dapat disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan dan diharap ia dapat memberi keselesaan dan keceriaan kepada keluarga berkenaan.

Beliau berkata, program MyHaus itu akan terus diperkasakan bagi membantu golongan sasar seperti asnaf dan fakir miskin yang memerlukan bimbingan untuk keluar dari kepompong kemiskinan.

“Sehingga kini, banyak pihak yang telah kita bantu, termasuk baru-baru ini kita telah melaksanakan program MyHaus mega iaitu membantu 30 buah rumah di Kedah yang dilanda ribut sehingga menerbangkan atap-atap mereka dan begitu juga di negeri-negeri lain yang sedang dijalankan satu persatu.

“Jadi, saya berharap akan ada lebih banyak kolaborasi di antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri serta pihak-pihak lain untuk membantu kita menemui golongan sasar dan seterusnya menghulurkan bantuan yang diperlukan seperti baik pulih atau pembinaan rumah serta bantuan memulakan perniagaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

850
Kongsi :
Previous post ‘Selamat datang Universiti Melaka’
Next post Elak guna bubu naga tangkap ikan atau berdepan tindakan
Ubah saiz-+=