‘Selamat datang Universiti Melaka’

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

PUTRAJAYA 8 April – Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) secara rasminya dinaik taraf menjadi Universiti Melaka (UniMEL) bermula semalam, 7 April 2021.

Perkara itu dimaklumkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan selepas menyerahkan sijil kelulusan penubuhan naik taraf status universiti penuh kepada Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) kepada Pengerusi Jawatankuasa di Jabatan Ketua Menteri (Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknikal & Inovasi Sains Dan Inovasi) negeri Datuk Noor Effandi Ahmad, di bangunan KPT, di sini, kira-kira jam 11.30 pagi, hari Ini.

Majlis penyerahan itu turut dihadiri Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Prof. Datuk Dr. Husaini Omar, Ketua Pegawai Eksekutif MQA Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran dan Naib Canselor KUIM Prof. Datuk Dr. Mohd Taib Dora.

Noor Effandi dalam satu kenyataan di laman Facebooknya menyifatkan watikah rasmi yang diterima KUIM itu sebagai satu sejarah baharu yang tercipta di bumi bersejarah, Melaka.

Katanya, selepas dinaik taraf, UniMEL diyakini akan terus menjadi sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) dengan falsafah pendidikan yang menggabungkan unsur-unsur keimanan, akademik dan vokasional (duniawi dan ukhrawi) bagi melahirkan golongan yang bertaqwa dan progresif.

“Negeri Melaka Bandaraya Bersejarah kini memiliki sebuah universiti yang membawa nama Melaka itu sendiri secara spesifik, sebuah nama yang masyhur seantero dunia sejak beratus tahun dahulu.

“UniMEL adalah kelangsungan daripada perkembangan berterusan Kolej Teknologi Islam Antarabangsa Melaka (KTIAM) yang seterusnya dinaiktaraf kepada Kolej KUIM pada tahun 2009.

“Selamat datang Universiti Melaka, selamat datang UniMEL, sebuah IPT milik penuh kerajaan negeri Melaka, milik bersama seluruh warga Melaka untuk semua rakyat Malaysia,” katanya.

Dalam kenyataan yang sama, Noor Effandi turut mengumumkan Mohd Taib dan Prof. Madya Dr. Ts. Afizan Azman sebagai Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor pertama UniMEL.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1566
Kongsi :
Previous post Polis Melaka rekod 259 kes penipuan atas talian
Next post ‘Syukur, Allah pilih saya dan keluarga’
Ubah saiz-+=