Polis Melaka rekod 259 kes penipuan atas talian

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

AYER KEROH 8 April – Sebanyak 259 kes membabitkan penipuan atas talian direkodkan di Melaka dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Timbalan Ketua Polis Melaka Senior Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, jumlah itu bagaimanapun merekodkan penurunan dua kes berbanding tahun lalu yang mencatatkan 261 kes dalam tempoh sama.

Katanya, 259 kes yang direkodkan tahun ini membabitkan kerugian lebih RM8.4 juta berbanding RM9.4 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

RAZALI (depan) bersama Mohd Shafie menghadiri Program Pencegahan Jenayah dan Lindungi Diri Dari Menjadi Mangsa Jenayah Penipuan di Dewan Serbaguna, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, di sini hari ini.

“Antara kes jenayah penipuan paling tinggi adalah urusan belian atas talian iaitu 64 kes berbanding 41 kes tahun lalu.

“Turut merekodkan jenayah siber tertinggi tahun ini adalah pinjaman wang tidak wujud sebanyak 64 kes tahun ini, disusuli pelaburan tidak wujud (35) dan Macau Scam (27),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan penutup Program Pencegahan Jenayah dan Lindungi Diri Dari Menjadi Mangsa Jenayah Penipuan di Dewan Serbaguna, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Bahagian Penguat kuasa dan Siasatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Mohd Shafie Harun.

Mengulas lanjut, Razali berkata pihaknya menjalankan advokasi dan pencegahan awal terhadap golongan muda berusia antara 30 hingga 40 tahun, yang dikenal pasti sering menjadi mangsa penipuan atas talian.

“Jika ada laman sesawang yang mencurigakan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat pemantauan bersama SKMM bagi menyekat akses laman itu untuk tindakan lanjut,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2367
Kongsi :
Previous post Jual air ikut gred tidak bebankan pengguna
Next post ‘Selamat datang Universiti Melaka’
Ubah saiz-+=