Jual air ikut gred tidak bebankan pengguna

Masa Membaca:2 Minit, 11 Saat

AYER KEROH 8 April – Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) memberi jaminan pengenalan Sistem Gred Air Nasional yang akan diperkenalkan sedikit masa lagi tidak akan membebankan pengguna.

Menterinya Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sistem berkenaan diperkenalkan bertujuan untuk membantu setiap negeri menjana pendapatan dengan menjual air kepada operator air serta negeri-negeri lain mengikut gred yang telah ditetapkan.

Pada masa sama katanya, melalui sistem itu juga ia dapat mengurangkan kerakusan dalam mengaut hasil hutan seperti pembalakan dan sebagainya yang telah memberi kesan kepada alam sekitar dan sumberi air negara itu sendiri.

“Dengan adanya gred air ini, seperti contoh gred 1 untuk air yang paling berkualiti dan diikuti gred 2, 3 dan seterusnya, jadi gred air ini boleh dijual dengan harga yang mahal mengikut kualiti yang ditetapkan kepada operator air negeri atau negeri-negeri lain yang memerlukan bekalan air tambahan.

“Sebelum ini air dijual dengan satu gred sahaja, jadi itulah sebabnya kita memperkenalkan satu mekanisme untuk gred air ini bagi membolehkan negeri menjana pendapatan melalui jualan air dan pada masa sama negeri juga terpaksa berkorban untuk mengurangkan pembalakan dan pencemaran bagi menjaga kualiti air mereka jika mahu menjual air mengikut kualiti yang paling baik.

“Apa-apa sekalipun, sistem ini tidak akan menjejaskan pengguna kerana pada akhirnya ia hanya melibatkan jualan kepada operator air negeri atau negeri-negeri lain memandangkan ia melibatkan kos loji dan hasil air itu sendiri. Pengguna masih mendapat harga yang sama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Undi Perdana kerja-kerja di bawah peruntukan KASA bagi Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Daerah, Luar Bandar dan Pengurusan Banjir negeri Datuk Seri Utama Ir. Idris Haron dan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka Abd Hakim Hamzah.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan kerajaan kini akan memperkasakan pelaksanaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) di setiap negeri bagi mengurangkan masalah gangguan air yang berlaku di beberapa negeri.

Beliau berkata, melalui pelaksanaan TAPS yang menggantikan sistem empangan, ia bukan sahaja dapat memanfaatkan sistem takungan air sedia bahkan turut berupaya mengurangkan risiko pencemaran di sungai-sungai utama yang boleh menjuruskan kepada masalah gangguan air seperti yang berlaku di Selangor.

“Melalui sistem lama, apabila air tercemar kita tiada alternatif lain kerana air biasanya disalurkan ke sungai-sungai utama. Jadi, bila adanya TAPS, bila berlakunya pencemaran, kita boleh gunakan air daripada takungan itu buat sementara waktu sehingga keadaan pulih.

“Selain itu, kita juga boleh memanfaatkan takungan air di TAPS dan mengurangkan pembaziran kerana sebelum ini 95 peratus daripada air yang dilepaskan ke laut tanpa dimanfaatkan sebaiknya,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

319
Kongsi :
Previous post Jangan sebar berita palsu berkaitan vaksin
Next post Polis Melaka rekod 259 kes penipuan atas talian
Ubah saiz-+=