Melaka terus subur dengan program keagamaan, kebajikan

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

AYER KEROH 13 Mei – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) terus komited menganjurkan pelbagai program berbentuk keagamaan dan saluran bantuan kepada insan memerlukan sepanjang tahun ini.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, pelaksanaan program itu bukan sahaja membabitkan MAIM, bahkan turut melibatkan agensi-agensi agama lain di negeri ini.

Menurut beliau, untuk tahun ini sahaja iaitu bermula Januari hingga Mei, pelbagai program berskala besar dan kecil telah dianjurkan Kerajaan Negeri.

“Untuk makluman di peringkat MAIM sehingga Mei kita sudah laksanakan banyak program bukan sahaja berskala kecil tetapi juga berskala besar, antaranya Konvensyen Baitulmal Kebangsaan 2024 pada Mac lalu.

“Selain itu, program lain yang sudah dilaksanakan adalah Bantuan Persediaan Ramadan dan Syawal Fakir, Miskin dan Mualaf; Program Ramadan Maidatur Rahman 1445H/2024; Bantuan Pakaian Sekolah; Majlis Sambutan Mahabbah Tahun Baru Cina Mualaf dan Pertandingan Dapur Panas Mualaf Peringkat Kebangsaan 2024,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi MAIM berkata, bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), Kerajaan Negeri turut memperkenalkan Bulan Pelancongan Agama dan Ihya’ Ramadan pada Mac dan April lalu yang dianjurkan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

“Program ini kita adakan juga bagi menarik kedatangan pelancong ke negeri ini walaupun pada bulan Ramadan, di mana pengunjung serta pelancong yang datang ke Melaka dapat menyertai aktiviti yang diadakan Pavilion TMM2024, Dataran Pahlawan.

“Antara program yang diadakan di Pavilion TMM2024 adalah Malam Semarak Ambang Ramadan dan Malam Gema Wahyu Ikhlas selain antara program lain yang dilaksanakan sepanjang Ramadan lalu adalah Jom Kayau Bubur dan Iftar Jamaie Mega.

“Menerusi program yang diadakan ini secara tidak langsung kita dapat mendekati golongan yang memerlukan selain merapatkan ukhwah antara umat Islam malah pelaksanaan program ini juga antara lain mengagihkan kembali zakat yang diterima,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

349
Kongsi :
Previous post ‘Alhamdulillah saya selamat’ – KM Melaka
Next post Terapkan budaya kitar semula di sekolah
Ubah saiz-+=