‘Alhamdulillah saya selamat’ – KM Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

KUALA LUMPUR 13 Mei – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh meluahkan rasa syukur kerana tiada insiden buruk berlaku ke atasnya dan pegawai pengiring susulan insiden pokok tumbang yang berlaku petang tadi.

Dalam kejadian di Jalan Pinang, berhampiran Kuwait Bank di ibu negara kira-kira jam 3.30 petang itu, beberapa kenderaan rosak apabila dihempap sebatang pokok yang tumbang susulan hujan lebat.

Antara kenderaan yang dihempap pokok tumbang termasuklah kenderaan pengiring kepada Ketua Menteri iaitu kereta jenis Proton X70 yang mengalami kerosakan di bahagian belakang akibat terkena dahan pokok yang tumbang.

Menceritakan detik cemas itu, Ab Rauf berkata, ketika kejadian, kenderaannya tidak bergerak di lokasi susulan cuaca yang tidak mengizinkan pada ketika itu.

“Pada waktu itu, kenderaan polis yang mengiringi saya baru sahaja melintasi kawasan tersebut, tapi malangnya pokok itu menghempap bahagian belakang kenderaannya menyebabkan kerosakan.

“Alhamdulillah, saya dan pegawai pengiring berada dalam keadaan yang selamat dalam insiden itu.

“Saya berharap pihak berkuasa dapat memantau pokok-pokok yang berada di sekitar Bandaraya Kuala Lumpur bagi mengelakkan insiden sama berulang lagi,” katanya menerusi satu pesanan suara ringkas.

Sementara itu, Pejabat Ketua Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan, ketika kejadian kenderaan dinaiki Ketua Menteri bersama tiga lagi kenderaan rasmi Kerajaan Negeri Melaka sedang melalui jalan berkenaan bagi menghadiri satu urusan rasmi di Kuala Lumpur.

“Terima kasih di atas keprihatinan semua pihak yang mengambil berat di atas kejadian yang berlaku petang tadi. Saya bersyukur, tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku,” kata Ab Rauf dalam kenyataan berkenaan.

Untuk rekod, kejadian pokok tumbang itu merupakan yang kedua berlaku di ibu negara selepas insiden sama pada 7 Mei lalu di Jalan Sultan Ismail yang menyebabkan seorang lelaki maut dan dua cedera.

Kejadian itu turut menyebabkan laluan berbumbung berdekatan runtuh dan beberapa bahagian pokok menimpa landasan monorel, menyebabkan perkhidmatan pengangkutan awam itu terganggu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

365
Kongsi :
Previous post SBST: Melaka tambah baik waktu, laluan bas domestik
Next post Melaka terus subur dengan program keagamaan, kebajikan
Ubah saiz-+=