Melaka teruskan misi tarik pelabur luar negara

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

SERI NEGERI 6 Mac – Kerajaan Negeri akan meneruskan misi lawatan pelaburan ke luar negara bagi menarik seberapa ramai pelabur masuk ke negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, misi tersebut amat penting dalam mempertingkat ekonomi negeri dan melestarikan rakyat.

Yang paling penting, ujar beliau, dengan kedatangan pelabur, ia juga bakal menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Melaka.

Menurut Ab Rauf, antara misi lawatan pelaburan yang akan diadakan pada tahun ini ialah ke Jerman bagi menarik lebih ramai pelabur dari negara Eropah itu.

Jelasnya, ia memandangkan Taman Perindustrian Jerman (GIP) bakal direalisasikan yang mana kawasan tersebut bakal menjadi sebuah kawasan perindustrian eksklusif di negeri ini.

“Seperti yang diketahui pada hari ini, Melaka merupakan negeri pelaburan terbesar dalam Malaysia oleh sebuah syarikat Jerman, Infineon.

“Oleh sebab itu, saya mencadangkan GIP ini diwujudkan kerana ekosistem pelaburan Jerman cukup besar.

“Alhamdulillah, bagi pembinaan Taman Perindustrian Jerman, kita sudah dapat kelulusan dan pada awal Ramadan nanti kita akan menandatangani perjanjian bersama pemilik tanah bersama pihak keduataan Jerman,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Persidangan Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Menurut Ab Rauf, Kerajaan Negeri kini juga sedang memberi fokus terhadap Straits of Melaka Waterfront Economic Zone (SM-WEZ) seluas lebih 25,000 ekar.

Jelas beliau, pembangunan di kawasan tambak laut itu bakal mewujudkan pelaburan berimpak tinggi dan menawarkan 5,000 peluang pekerjaan pada peringkat awal.

“Setakat ini, kita sedang menyelesaikan segala bentuk prosedur untuk diluluskan supaya projek ini diangkat ke peringkat nasional,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

421
Kongsi :
Previous post Melaka Digital Berhad perlukan kajian terperinci
Next post ‘Elevated U-Turn’ atasi kesesakan jalan raya
Ubah saiz-+=