Melaka United curi satu mata dalam aksi ‘thriller’ di Kota Bharu

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

KELAB Bolasepak Melaka United (Melaka United FC) terpaksa berpuas hati dengan membawa pulang satu mata dari Kota Bharu selepas mencatat keputusan seri 3-3 dengan Kelantan United FC, malam tadi.

Dalam aksi keempat kumpulan C saingan Piala Malaysia 2021 itu, skuad Hang Tuah bagaimanapun terpaksa bermandi peluh apabila ketinggalan sebanyak tiga kali sebelum berjaya mengikat kedudukan di saat-saat akhir.

Melaka United selaku pasukan pelawat terlebih dahulu ketinggalan pada minit ke-22 hasil jaringan pemain tengah tuan rumah, Yuki Tanigawa.

Namun, gol itu tidak bertahan lama apabila Melaka United bingkas menyamakan kedudukan tiga minit selepas itu menerusi Sony Norde.

Pada minit ke-38, Melaka United sekali lagi dikejutkan dengan gol kedua tuan rumah yang dijaringkan penyerang importnya, Gassama Alfusainey sekali gus menyaksikan nedudukan separuh masa pertama berakhir 2-1 memihak tuan rumah.

Bersambung di babak kedua, anak buah Zainal Abidin Hassan kembali mengemaskan permainan untuk mencari gol penyamaan.

Hasilnya, S Kumaahran berjaya mengikat semula kedudukan pada minit ke-55.

Perlawanan kembali rancak apabila tuan rumah sekali lagi di depan pada minit ke-78 menerusi jaringan Shafizi Iqmal.

Bagaimanapun, ia hanya bertahan enam minit sahaja apabila Manuel Ott kembali mengikat kedudukan 3-3.

Keputusan seri itu kekal selepas pengadil perlawanan, Abdul Rahman Wahab meniupkan wisel penamat.

Melaka United kekal memimpin kumpulan C dengan mengutip 10 mata daripada empat perlawanan, selain turut diberi kemenangan percuma 3-0 selepas Negeri Sembilan FC menarik diri dari saingan Piala Malaysia 2021 akibat COVID-19.

Aksi terakhir kumpulan C menyaksikan Melaka United bakal melayani kunjungan Kedah Darul Aman FC di Stadium Hang Jebat, 9 Nov ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

381
Kongsi :
Previous post Banjir: Dua PPS dibuka di Alor Gajah
Next post Bomba selamatkan 32 guru, murid terperangkap banjir
Ubah saiz-+=