Melaka United ‘gigit jari’, impian ke final Piala Malaysia lebur

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

HASRAT Melaka United FC mahu melakar sejarah layak ke final Piala Malaysia, tidak kesampaian selepas dikecewakan Kuala Lumpur City FC di Stadium Hang Jebat sebentar tadi.

Beraksi di laman sendiri, Melaka United bagaimanapun tewas bermaruah kerana berjaya mengheret perlawanan ke masa tambahan selepas terikat dengan agregat 2-2, sebelum tewas 3-5 pada penentuan sepakan penalti.

Aksi yang tertangguh lebih sejam akibat masalah bekalan elektrik itu menyaksikan tuan rumah ketinggalan seawal minit ke-9 selepas J Partiban membuka tirai jaringan buat KL City.

Walaupun cuba melakukan asakan demi asakan, namun beberapa percubaan terbaik skuad Hang Tuah berjaya diselamatkan penjaga gol Kuala Lumpur City FC.

Bersambung di babak kedua, tuan rumah terus agresif memburu gol penyamaan menerusi beberapa gerakan yang direncana trio serangan Melaka United.

Percubaan demi percubaan akhirnya membuahkan hasil apabila pemain tengah Ahmad Syamim Yahya berjaya menemui jaring pada minit ke-65.

Gol itu terhasil berpunca daripada sepakan sudut diambil Sony Norde, yang kemudian disudahkan Syamim untuk melegakan kira-kira 13,000 penyokong Melaka United.

Selepas itu, anak buah Zainal Abidin Hassan bagaikan terus ‘dirasuk’ dalam memburu gol kemenangan buat pasukan.

Namun, tiada lagi gol terhasil selepas tamat 90 minit permainan dan memaksa perlawanan diheret ke masa tambahan.

30 minit masa tambahan menyaksikan Melaka United tidak berputus asa dalam memburu gol, namun beberapa peluang terbaik gagal disudahkan hingga menyaksikan kemenangan terpaksa ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti.

Kegagalan Giovanne Gomez menyempurnakan penalti ketiga membuatkan Melaka United berputih mata apabila terpaksa akur tewas 3-5 di tangan KL City FC.

Selaku finalis, KL City FC dijadual bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) yang menewaskan Terengganu FC dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Perlawanan akhir akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan kapasiti terhad kepada 20,000 penyokong sahaja.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

735
Kongsi :
Previous post Melaka United heret KL City FC ke masa tambahan
Next post Sulaiman ucap tahniah buat Melaka United
Ubah saiz-+=