Meluruskan sejarah: Melaka bakal bekerjasama dengan Universiti Leiden, Belanda

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

AYER KEROH 1 Mei – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menyatakan kesungguhan beliau untuk meluruskan sejarah Melaka demi tatapan generasi kini dan akan datang.

Optimis terhadap hasrat itu, Ab Rauf memaklumkan Kerajaan Negeri Melaka akan mengadakan kerjasama bersama Universiti Leiden, Belanda bagi meneliti lebih banyak manuskrip, dokumen dan surat-surat berkaitan Hang Tuah.

Jelas Ab Rauf, usaha itu demi membuktikan kewujudan pahlawan hebat Melaka.

“Diberi kesempatan bersama delegasi Kerajaan Negeri Melaka untuk melihat, membaca dan menyentuh sendiri naskhah ‘Hikayat Hang Tuah’ berusia 266 tahun yang tersimpan rapi di Perpustakaan Universiti Leiden, Belanda.

“Naskhah Hikayat Hang Tuah yang saya baca ini dipercayai antara yang tertua diterbitkan pada tahun 1758, sebelum diterjemahkan dalam banyak bahasa asing termasuk Perancis, Jerman, Rusia dan Indonesia,” kata Ketua Menteri di facebook rasmi beliau.

Mengulas lanjut, Ab Rauf menyatakan beliau turut berkesempatan melihat naskhah Undang-Undang Melaka yang juga dikenali sebagai Hukum Kanun Melaka.

“Dokumen bersejarah ini merupakan undang-undang Kesultanan Melaka mengandungi peruntukan penting yang menegaskan semula keutamaan undang-undang adat Melayu pada masa sama mengadaptasikan prinsip Islam.

“Saya yakin, usaha ini tidak akan terhenti di sini sahaja. Pentadbiran saya akan meneruskan misi pencarian bukti kewujudan Hang Tuah dan kehebatan empayar Kesultanan Melayu Melaka bagi meluruskan kembali kebengkokan sejarah Melaka demi tatapan generasi kini serta akan datang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

132
Kongsi :
Previous post 1,571 orang Melaka ‘kena tipu’ tahun lalu
Next post Kenaikan gaji penjawat awam akan diperincikan semasa pembentangan Belanjawan 2025
Ubah saiz-+=