Menang ‘Yamaha NVX Limited Edition’ macam kena ‘prank’

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

BANDARAYA MELAKA 8 Mac – “Saya sangkakan semua ini ‘prank’ (gurauan) untuk kenakan kami sekeluarga tapi ternyata ia bukan gurauan, ” kata pengunjung ke 8 juta Menara Taming Sari (MTS), Mohd Faiz Kamarulzaman, 40.

Sebagai pengunjung bertuah Mohd Faiz berasal dari Sabak Bernam, Selangor membawa pulang hadiah utama motosikal Yamaha NVX Edisi Terhad bernilai RM15,000.

Guru sekolah rendah itu berkata, dia bersama isteri dan empat orang anak yang meluangkan masa melancong ke negeri ini tidak melepaskan peluang berkunjung ke MTS pada malam Ahad lalu.

“Anak saya ada menyatakan hasrat untuk naik MTS sebab dia belum pernah cuba, jadi malam itu kami sekeluarga terus ke MTS untuk beli tiket di kaunter.

“Kemudian kami didatangi kakitangan MTS memaklumkan mahu mengambil gambar kami dan menemubual sambil menyatakan saya menang cabutan utama.

“Pada mulanya saya ingat itu semua gurauan sebab mereka kerumuni saya. Malah saya tidak tahu ada pertandingan seperti itu. Tetapi bila mereka sudah ambil gambar baru sedar yang saya memang menang motosikal ‘limited edition’ kali ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Dia yang sudah empat kali mengunjungi MTS meluahkan rasa syukur berikutan menjadi pelancong yang bertuah malah tidak menjangka menjadi pengunjung yang ke 8 juta.

Sementara itu Pengurus Jualan dan Pemasaran Menara Taming Sari Berhad, Mohd Husni Husin berkata, Program Pencarian Pengunjung Bertuah ke lapan Juta MTS menerima sambutan menggalakkan daripada pelancong.

“Cabutan dilaksanakan bertujuan untuk menghargai pengunjung. Ada dua lagi cabutan utama sebelum ini iaitu pengunjung ke 7.9 juta dimenangi pengunjung dari Kelantan yang membawa pulang i-Pad.

“Pengunjung ke 7.8 juta dari Selangor pula menerima baucar percutian menaiki bot persiar 101 Paradise Langkawi,” katanya.

Terdahulu, dalam acara penyerahan diadakan baru-baru ini telah disempurnakan oleh Timbalan Pengurus Besar MTS, Halil Mohamed Jaafar.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1598
Kongsi :
Previous post Isteri KM terima kunjung hormat PEKERTI NS
Next post Festival kraf bantu usahawan jana pendapatan
Ubah saiz-+=