Sorting by

×

MENARA TAMING SARI TINGKAT ASPEK KESELAMATAN, SIAP SEDIA HADAPI WTD 2025

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

BANDARAYA MELAKA 12 September – Melaka Taming Sari Berhad (MTSB) sudah bersiap sedia menghadapi Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2025 yang yang dijadual berlangsung 27 hingga 29 September ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MTSB, Nur Azan Hassan berkata, antara penekanan yang diberikan adalah terhadap aspek keselamatan pelancong dan delegasi pelancongan dunia di kawasan produk pelancongannya iaitu Menara Taming Sari.

Rentetan itu, beliau memaklumkan, pihaknya telah mengadakan Latihan Simulasi Kecemasan MTSB bersama Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah.

“Latihan simulasi ini amat penting kerana di samping memastikan keselamatan pengunjung di Menara Taming Sari, keselamatan para pemimpin dan tetamu antarabangsa pada WTD 2025 juga akan menjadi keutamaan kami di Menara Taming Sari.

“Saya berharap, semua kakitangan MTSB dapat mengadaptasi kursus latihan simulasi ini yang berlangsung selama dua hari bermula 10 September dengan sebaiknya bagi memastikan agenda keselamatan di tempat kerja sentiasa diutamakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini (MHI) ketika hadir ke Majlis Penutup Latihan Simulasi Kecemasan MTSB bersama BBP Melaka Tengah di perkarangan Menara Taming Sari, di sini, semalam.

Nur Azan berkata, selain penekanan terhadap aspek keselamatan, MTSB juga telah melakukan kerja pembersihan serta pengindahan bangunan bagi menceriakan Menara Taming Sari sempena WTD 2025.

“Kami menjangkakan kerja-kerja tersebut akan siap sepenuhnya sebelum tarikh bermulanya WTD nanti,” ujarnya.

Melaka dipilih sebagai tuan rumah WTD dan Persidangan Pelancongan Dunia (WTC) 2025 mewakili Malaysia selepas Pertubuhan Pelancongan Sedunia (UNWTO) tahun lalu sepakat memilih Malaysia sebagai lokasi penganjuran program berprestij itu tahun depan.

Acara berkenaan dijadual berlangsung pada 27 September ini dengan bertemakan ‘Tourism and Sustainable Transformation’.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

521
Kongsi :
Previous post MELAKA BAKAL MILIKI PERKAMPUNGAN BUDAYA ORANG ASLI PERTAMA DI MALAYSIA
Next post 129 KONTINJEN AGENSI AGAMA WAKILI MELAKA DI IJPAM 2025