‘Menggigil lihat si adik kebiruan’

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

DUYONG 5 Julai – “Saya menjerit dan menepis tangan abangnya namun saya lihat badan adiknya sudah kebiruan.”

Itu kata Qhurun Ain Johani, 31 yang mendakwa melihat seorang kanak-kanak lelaki sembilan tahun yang maut dipercayai dicekik abangnya berusia 14 tahun dalam kejadian di Kampung Bukit Piatu di sini tengah hari tadi.

Dia yang jiran keluarga dua beradik itu berkata, dia menerima panggilan daripada ibu mangsa yang sedang bekerja memintanya pergi ke rumah untuk melihat keadaan anak ketiganya berikutan melihat kejadian itu menerusi kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di rumah yang boleh diakses melalui telefon bimbit.

Katanya, selepas melihat kejadian itu dia berlari keluar dan mendapatkan pertolongan jiran lain supaya menghubungi ambulans.

“Jiran yang lain yang turut berada di situ turut memegang si abang namun dia meronta-ronta seolah dirasuk.

“Menggigil saya satu badan kerana tidak pernah melihat kejadian seumpama itu di depan mata,” katanya ketika ditemui pemberita.

IMG_8833
Qhurun Ain

Menurut Qhurun Ain, ibu mangsa ada menyuarakan kerisauan meninggalkan dua beradik itu di rumah kerana abang mangsa pernah meracau beberapa kali sebelum ini.

“Hari ini, adik tidak pergi ke sekolah kerana sakit mata manakala abangnya sedang bercuti selepas sekolah tempatnya belajar meminta ibu mangsa membawa pulang kerana pernah meracau di sekolah

“Abang mangsa seorang budak yang baik, cakap pun lembut selain bergaul baik dengan budak-budak lain namun beberapa minggu lepas dia meracau sehingga terpaksa meminta bantuan jiran,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

13126
Kongsi :
Previous post Tandas sekolah bertemakan animasi
Next post Remaja lelaki ditahan bantu siasatan kes kanak-kanak maut
Ubah saiz-+=