Menginap 24 jam antara Lapan Pakej 24 di Hotel MITC

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

AYER KEROH 30 Disember – Hotel MITC tampil dengan kelainan untuk menarik lebih ramai pengunjung menerusi lapan Pakej 24 sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Pengurus Besar Hotel MITC, Sazali Sabri berkata pakej tersebut diperkenalkan sebagai menyahut seruan Kerajaan Negeri untuk pakej 24 bertemakan setiap angka 24 pada tahun hadapan iaitu tahun 2024.

Katanya, Pakej 24 yang diperkenalkan memberi nafas baharu untuk pelancongan negeri menerusi pakej berbeza buat pelanggan yang bercuti ke hotel tersebut.

“Antara lapan Pakej 24 yang ditawarkan untuk pengunjung seperti ulang tahun perkahwinan ke-24 pada tarikh 24 haribulan setiap bulan akan menikmati kadar istimewa.

“Pengunjung yang menetap masuk ke hotel pada tarikh 24 haribulan setiap bulan bermula Januari hingga Disember 2024; ulang tahun kelahiran pada tanggal 24 haribulan akan menerima 15 peratus diskaun untuk makan dan minum di Hotel MITC.

“Dua puluh empat (24) peratus diskaun buat pelanggan yang membuat tempahan menerusi laman sesawang hotel; setiap penginapan sebanyak 24 kali akan terima penginapan percuma dua hari satu malam; pelanggan yang mempunyai plat kereta 24 akan peroleh 24 peratus diskaun dan 10 peratus diskaun makan dan minum di hotel termasuk fleksibel menginap selama 24 jam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Pakej 24 Sempena TMM2024 di Hotel MITC di sini hari ini yang dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat TMM2024, Datuk Lim Chow Beng.

Mengulas lanjut, Sazali berkata pihaknya teruja dengan tahun 2024 dan bersempena TMM2024 untuk menarik lebih ramai pelancong luar dan dalam negeri.

“Pihak Hotel MITC berasa teruja dan gembira menantikan tahun 2024 untuk diraikan bersama-sama tetamu.

“Sebarang pertanyaan mengenai promosi Pakej 24 ini dialu-alukan untuk hubungi hotel di talian 06-2331551 atau 019-6241552 atau layari laman web utama di www.mitchotel.com.my,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1471
Kongsi :
Previous post Pakej 24 gamit pelancong pada TMM2024
Next post 7 sekeluarga berkompang pada pelancaran TMM2024
Ubah saiz-+=