7 sekeluarga berkompang pada pelancaran TMM2024

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

BANDARAYA MELAKA 30 Disember – “Ini pengalaman pertama kami sekeluarga menyertai persembahan pembukaan yang bakal mewarnai sambutan ini, rasa memang sangat teruja, ” kata salah seorang peserta pasukan kompang, Fadzli Ismail,40.

Menurutnya dia bersama isteri, Norazlinda Abdul Mutalib,40 dan lima orang anaknya merupakan antara 50 peserta yang akan memalu kompang dalam persembahan pembukaan dan menyambut tetamu sempena Sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) Dan Ambang Tahun Baharu 2024.

Baginya, itu adalah pengalaman manisnya sekeluarga yang juga merupakan ahli Pasukan Kompang Zapin PPR Krubong berikutan diberikan peluang bersama dua kumpulan lain dalam persembahan itu.

Turut tidak terkecuali, anak bongsunya berusia enam tahun, Mohamad Haziq Rizki merupakan peserta paling termuda dalam persembahan tersebut.

“Kami semua sudah bersedia dan terima kasih sebab diberikan peluang ini sebab tidak pernah lagi melibatkan diri dalam penganjuran besar seperti ini kerana kebiasaannya kami hanya akan menyertai acara- acara biasa saja,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kumpulan Kompang Zapin Warisan Tanjung Minyak, Noryzam Ab Hasan, 43 berkata, sebagai kumpulan peneraju kompang Zapin di Melaka pihaknya akan menampilkan tiga kumpulan hasil daripada tenaga pengajar sama yang giat aktif di tiga lokasi di negeri ini.

Katanya, kesemua peserta akan berbusana Baju Layang pada pembukaan malam itu nanti disertai dengan pasukan gendang cina, India, pasukan Jido dan artis kebudayaan.

“Alhamdulillah ini kali ketiga kami melibatkan diri dalam penganjuran besar seperti ini dan kita akan pastikan pasukan kompang zapin di Melaka akan terus mencari pelapis demi mewarisi tradisi ini.

“Tiga kumpulan akan bergabung kali ini mengadakan persembahan kompang terdiri daripada peserta berusia enam hingga 60 tahun.

“Meskipun berdepan cabaran untuk mencari pelapis kita akan terus bergiat aktif kerana selain pasukan saya, ada dua lagi iaitu Pasukan Kompang Zapin PPR Krubong dan Kompang Zapin Taman Tanjung Minyak yang aktif dalam seni ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

642
Kongsi :
Previous post Menginap 24 jam antara Lapan Pakej 24 di Hotel MITC
Next post Raptai TMM2024 hebat, berjalan lancar
Ubah saiz-+=