Raptai TMM2024 hebat, berjalan lancar

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

BANDARAYA MELAKA 30 Disember -Persembahan pada raptai Sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) Dan Ambang Tahun Baharu 2024 disifatkan sebagai sesuatu yang hebat.

Bagaimanapun Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, penambahbaikan dari sudut teknikal perlu dilakukan bagi memastikan pengunjung yang datang pada malam sambutan itu berpuas hati dengan sambutan tersebut.

“Raptai pada malam ini ada beberapa perkara lagi yang perlu ditambah baik, sungguhpun persembahan kesemuanya hebat tetapi dalam bentuk teknikal ia perlu dinilai semula.

“Saya ingin menyatakan persembahan pada malam raptai ini begitu memuaskan cuma dalam bentuk teknikal perlu ditambah baik supaya ia memberi nilai yang lebih berkesan kepada penonton yang datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Vest dan Buku Passport Volunteer Tahun Melawat Melaka 2024 dan Inisiatif Paramadik Komuniti di Grand Stage Pelancaran TMM2024, di Pengkalan Rama di sini malam tadi.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.

Terdahulu, usai majlis penyerahan itu, Ab Rauf terus kekal berada di lokasi terbabit sehingga lewat malam bagi memantau secara keseluruhan raptai yang diadakan sebelum kemuncak program pada malam 31 Disember.

Raptai yang diadakan berjalan dengan lancar dengan kira-kira 15 persembahan nyanyian daripada artis kebudayaan diakhiri dengan gimik bunga api.

Sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) Dan Ambang Tahun Baharu 2024 dijadual berlangsung di Jeti Pejabat Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai (PPSPM), Dataran Pengkalan Rama pada 31 Disember depan bakal diwarnai dengan kehadiran artis tanah air antaranya Datuk Seri Siti Nurhaliza, Anuar Zain, Ziana Zain, Ernie Zakry, Zamani serta pelbagai lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1750
Kongsi :
Previous post 7 sekeluarga berkompang pada pelancaran TMM2024
Next post 200 sukarelawan, Paramedik Komuniti sedia jadi ‘duta’ TMM2024
Ubah saiz-+=