200 sukarelawan, Paramedik Komuniti sedia jadi ‘duta’ TMM2024

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

BANDARAYA MELAKA 30 Disember – Seramai 200 sukarelawan pelancong atau ‘Volunteers Melaka’ telah bersiap sedia menawarkan perkhidmatan sebagai duta kecil pelancongan sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024)

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, semua sukarelawan yang dipilih telah didedahkan dengan latihan dan pengetahuan berkaitan industri pelancongan Melaka dan akan ditempatkan di lokasi-lokasi pelancongan pada tahun hadapan.

Katanya, fungsi utama sukarelawan terbabit mampu membantu pelancong memberi khidmat nasihat dan penerangan berkaitan lokasi pelancongan dan kawasan tumpuan sejarah di seluruh negeri ini.

“Mereka telah dilatih dan diberikan pengetahuan tentang tempat-tempat pelancongan yang menarik serta sejarah-sejarah di Melaka.

“Malah, kita turut melancarkan Paramedik Komuniti yang turut akan berkhidmat di kawasan tumpuan pelancongan di negeri ini dengan dilengkapi kelengkapan paramedik bagi membantu pelancong sekiranya berdepan situasi kecemasan.

“Mereka yang dipilih ini sudah bersedia untuk menawarkan perkhidmatan kepada para pelancong dan pengunjung yang datang ke negeri ini pada tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Vest dan Buku Passport Volunteer Tahun Melawat Melaka 2024 dan Inisiatif Paramedik Komuniti di Grand Stage Pelancaran TMM2024, di Dataran Pengkalan Rama, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; serta Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.

Turut hadir Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhammad Akmal Saleh, barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta tetamu lain.

Terdahulu pada program diadakan itu, seramai 10 wakil Paramedik Komuniti telah menerima penyerahan kit dan beg kelengkapan kesihatan yang disampaikan Ketua Menteri.

Manakala, seramai 15 wakil ‘Volunteer Melaka’ turut menerima penyerahan vest dan passport.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, perkhidmatan pelancongan di Melaka akan terus diperkasa dibantu dengan kawalan polis pelancongan pada tahun hadapan.

Malah ujarnya, segala kelengkapan anggota polis akan dilengkapi dengan kenderaan jimat tenaga dalam penugasan membantu pelancong yang datang pada tahun itu.

“Kita juga telah melengkapkan perkhidmatan polis pelancong dengan kenderaan jimat tenaga yang akan kita perkenalkan selepas pelancaran TMM2024 ini nanti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1517
Kongsi :
Previous post Raptai TMM2024 hebat, berjalan lancar
Next post Proton X70 buat pengunjung bertuah pada malam pelancaran TMM2024
Ubah saiz-+=