Merambong, pokok ‘pendamping’ penyu karah

Masa Membaca:3 Minit, 12 Saat

TANJUNG BIDARA 14 November – Fizikalnya seperti tumbuhan biasa, tetapi siapa sangka pokok merambong yang banyak ditanam di pesisir pantai sebenarnya mempunyai kelebihan tersendiri.

Selain menjadi landskap keindahan pantai, pokok renek ini dikatakan mempunyai ciri-ciri istimewa iaitu sejuk dan berbau wangi.

Malah lebih penting, ia juga dianggap sebagai pokok mesra penyu karah mendarat di pantai Padang Kemunting, di sini, terutama pada waktu kemuncak sekitar April dan November setiap tahun.

LOKASI PERSEMBUNYIAN

Menurut Timbalan Pengarah Perikanan Negeri Melaka Nawar Abd Karim, penyu karah iaitu spesies penyu hanya terdapat di Negeri Melaka sering menjadikan pokok merambong sebagai lokasi persembunyian sebaik naik ke darat untuk bertelur.

Katanya, atas faktor itu, pokok berkenaan ditanam di sepanjang pesisir pantai Negeri Melaka, terutamanya Padang Kemunting yang menjadi lokasi pendaratan penyu karah tertinggi di negeri ini.

“Tumbuhan renek ini amat sesui sebagai tempat persembunyian penyu karah daripada sebarang gangguan. Kita berharap dengan adanya pokok ini, ia membantu meningkatkan lagi jumlah pendaratan penyu untuk bertelur.

“Sebab itulah, kita akan tanam lebih banyak lagi pokok jenis ini, bukan sahaja di Padang Kemunting, bahkan meliputi kawasan Tanjung Dahan hingga ke Kem Terendak yang menjadi antara kawasan pendaratan penyu karah tertinggi di negeri ini,” katanya ketika ditemui pada majlis pelepasan anak penyu karah bersempena DUN Tanjung Bidara Beach Clean Up di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Padang Kemunting.

1
AB Rauf (kanan) menanam pokok merambong pada Program DUN Tanjung Bidara Beach Clean Up di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Padang Kemunting. Foto: MR. AZLI

Majlis itu dirasmikan Exco Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara.

Mengulas lanjut, Nawar turut menasihati orang ramai terutamanya pengunjung pantai agar tidak merosakkan pokok merambong yang ditanam di sepanjang pesisiran pantai.

“Kita harap tiada yang merosakkan atau mematahkan dahan pokok merambong kerana inilah tumbuhan yang menarik penyu karah naik ke darat untuk bertelur dan membantu mengelakkan kepupusan penyu karah,” ujarnya.

PENDARATAN PENYU DI MELAKA MENINGKAT

Dalam pada itu, Nawar memaklumkan sepanjang Januari hingga Oktober tahun ini, sebanyak 900 sarang pendaratan penyu karah telah dikesan di sepanjang pesisir pantai negeri ini.

Jumlah itu, katanya, menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu yang merekodkan jumlah sama bagi tempoh 12 bulan atau setahun.

“Ini antara lain disumbangkan hasil kesedaran dan kerjasama agensi bersama orang awam dalam menjaga persekitaran dan cakna terhadap pengurusan serta pelepasan penyu karah di negeri ini.

“Malah, kadar kematian penyu pada tahun ini juga hanya menunjukkan jumlah yang kecil sahaja,” katanya.

4
SUKARELAWAN, Nur Insyirah Afiqah Mohd Azman, 22, (kiri) bersama Razidah juning, 27, (kanan) menunjukkan anak penyu yang akan dilepaskan. Foto: MR. AZLI

WAJIB ADA LESEN

Tambahnya, dalam usaha menjaga populasi penyu karah di negeri ini, Kerajaan Negeri telah mewartakan enakmen Kaedah-Kaedah Perikanan (Penyu dan Telur Penyu) Negeri Melaka yang melarang orang ramai untuk memiliki, mengambil atau memakan telur penyu.

Katanya, mana-mana pihak atau individu dikesan melanggar kesalahan itu boleh didakwa mengikut akta-akta yang ditetapkan Kerajaan Negeri.

Selain itu, ujarnya, pengutip telur penyu di negeri ini juga wajib mempunyai lesen yang dikeluarkan Pejabat Perikanan Negeri Melaka.

“Setakat ini, kita telah mengeluarkan lesen kepada 10 pengutip telur penyu di sepanjang pantai negeri ini. Hanya mereka yang ada lesen sahaja dibenarkan mengutip telur penyu karah.

“Kebiasaannya setiap kali mendarat, penyu karah mampu menghasilkan 120 hingga 140 biji telur yang mana ia kemudiannya akan dibawa ke tempat pengeraman dan penetasan di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Padang Kemunting.

6
ANAK penyu karah di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Padang Kemunting. Foto: MR. AZLI

“Selain penetasan, pusat konservasi berkenaan juga boleh dikunjungi orang ramai secara percuma bagi melihat sendiri penyu secara lebih dekat di kolam yang disediakan, selain boleh mendapatkan maklumat mengenai spesies berkenaan dan usaha memuliharanya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2576
Kongsi :
Previous post Shahril cungkil potensi Asahan untuk dibangunkan
Next post Seorang maut, kereta dinaiki tujuh keluarga langgar belakang treler
Ubah saiz-+=