Mesyuarat kabinet diawalkan esok, bincang isu kos sara hidup – PM

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

KUALA LUMPUR, 22 Mei – Mesyuarat Kabinet akan diawalkan ke esok (23 Mei) bagi membincangkan isu peningkatan kos sara hidup dan penawaran bahan makanan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), masing-masing akan membentangkan laporan berkaitan isu itu, termasuk perancangan jangka pendek dan panjang mengatasinya.

“Jadi esok, Isnin, saya panggil mesyuarat kabinet untuk melihat khusus dari segi bagaimana kita hendak mengimbangi kenaikan harga barang yang mendadak ini dan saya minta KPDNHEP untuk membentangkannya.

“Begitu juga dengan makanan, ‘supply’ makanan termasuk ayam, MAFI perlu membentangkannya,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata kos sara hidup yang dijangka akan meningkat adalah fenomena global, antaranya berikutan konflik Rusia-Ukraine serta pandemik COVID-19 sebelum ini yang turut menjejaskan pengeluaran bahan dan hasil makanan.

Sementara itu perdana menteri berkata selain permit import (AP) untuk bahan makanan, kerajaan juga sedang mengkaji pemansuhan AP lain bagi mengurangkan tekanan kekurangan barangan lain.

“Kita harap apabila AP dihapuskan, sekurang-kurangnya ia boleh mengurangkan tekanan kita dari segi kekurangan suppy barangan, dan mungkin banyak pihak yang terlibat boleh mengurangkan harga tetapi perlu kita tunggu kesannya,” katanya.

Rabu lepas, Ismail Sabri memaklumkan bahawa kerajaan memutuskan untuk memansuhkan AP bagi bahan makanan dan ia berkuatkuasa serta-merta. – BERNAMA

Views:

1098
Kongsi :
Previous post Lelaki ditahan miliki air ketum, dadah
Next post Tempoh pelancongan pulih bergantung pembukaan sempadan luar
Ubah saiz-+=