Tempoh pelancongan pulih bergantung pembukaan sempadan luar

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

SEGAMAT, 22 Mei – Tempoh sektor pelancongan negara untuk kembali pulih seperti sebelum pandemik COVID-19 bergantung kepada pembukaan sempadan negara luar, kata Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Seri Dr Santhara Kumar.

Beliau berkata MOTAC sebenarnya merancang memulihkan sektor pelancongan negara dalam tempoh tiga tahun, namun ia bergantung kepada faktor tersebut.

Jelasnya sumbangan daripada sektor pelancongan pada 2019 yang mencapai RM89 bilion banyak bergantung kepada kedatangan pelancong dari negara luar khususnya China dan India.

“Sekarang China belum buka lagi untuk mereka keluar berkunjung, maksudnya daripada perancangan untuk menerima kehadiran pelancong luar, kita sudah bersedia kalangan pemain industri tetapi ia juga bergantung pada pembukaan sempadan di negara berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penutup Program Pembangunan Kemahiran Komuniti Kraf Catur Kayu Segamat di Kolej Komuniti Segamat 2 di sini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berpendapat tempoh lima tahun disasarkan Tourism Malaysia untuk sektor pelancongan negara kembali pulih adalah terlalu lama.

Menurut Muhyiddin jika tempoh berkenaan diambil untuk memulihkan sektor tersebut, akan berlaku lebih banyak isu dan permasalahan lain.

Santhara berkata bagi meningkatkan sektor pelancongan negara, Malaysia akan turut memberi fokus menarik pelancong dari negara lain seperti negara Timur Tengah. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

939
Kongsi :
Previous post Mesyuarat kabinet diawalkan esok, bincang isu kos sara hidup – PM
Next post Kutip 45kg sampah di tapak tinggalan Eye On Malaysia
Ubah saiz-+=