Mindef fokus empat teras utama perincikan Bajet 2023 – Hishammuddin

KLUANG, 9 Okt – Kementerian Pertahanan (Mindef) akan memperincikan peruntukan Bajet 2023 yang diterimanya dalam masa tidak lebih dua bulan dengan tumpuan diberikan kepada empat teras utama.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata secara keseluruhannya, kementerian itu diperuntukkan RM17.37 bilion untuk 2023, peningkatan RM1.23 bilion atau 7.8 peratus berbanding peruntukan tahun sebelumnya.

Beliau berkata daripada jumlah itu, perbelanjaan pengurusan meningkat 2.7 peratus kepada RM11.41 bilion dan perbelanjaan pembangunan meningkat 18.3 peratus kepada RM5.96 bilion.

“Jumlah ini sudah tentunya saya terpaksa memperincikan bagaimana ia dapat dimanfaatkan sepenuhnya kerana saya juga terikat dengan perancangan-perancangan yang ada di Mindef lepas berbincang dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berhubung kait dengan dasar-dasar kita.

“Saya telah membuat keputusan, apa jua yang kita nak umumkan selepas ini, kepimpinan di peringkat Mindef dan ATM mesti memberikan keutamaan kepada empat perkara yang sentiasa saya tekankan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutup Karnival Tentera Darat 2022 di Stadium Mini, Taman Sri Lambak di sini hari ini.

Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong berkata empat teras tersebut ialah pembelian aset-aset baharu, penyelenggaraan aset-aset sedia ada, pembelaan terhadap veteran ATM dan penambahbaikan aspek kebajikan warga pertahanan.

Bagaimanapun, beliau berkata Mindef sentiasa berfikir di luar kotak dan tidak melihat kepada peruntukan belanjawan sebagai satu kaedah sahaja untuk memperkukuh kekuatan kementerian itu dan ATM.

“Sebab itu jangan kita melihat kepada bajet sebagai segala-galanya, banyak cara lain untuk kita sedang memikirkan di luar kotak untuk membantu dalam keadaan, bukan mudah, ekonomi dunia memang tertekan tetapi daripada segi keselamatan dan pertahanan, itu kita tidak boleh kompromi dan lebih penting bagi saya yang dekat dengan hati saya ialah agenda-agenda kebajikan,” katanya.

Mengenai penambahbaikan aspek kebajikan warga Pertahanan, antara lain Mindef juga terus menjalin kerjasama erat dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam usaha membolehkan lebih ramai warga kementerian itu termasuk veteran ATM membeli rumah mampu milik.

Selain itu, beliau berkata Mindef juga akan terus mengeratkan usahasama dengan Kementerian Kesihatan terutama dalam usaha menambahbaik infrastruktur dan kemudahan di Hospital Angkatan Tentera, poliklinik ATM serta pusat-pusat perubatan dan pergigian ATM.

Ketika ditanya mengenai keluhan segelintir veteran ATM mengenai ketiadaan peruntukan khas buat mereka menerusi Bajet 2023, Hishammuddin meminta agar golongan itu tidak melihat kepada ucapan pembentangan semata-mata.

“Kalau pihak kementerian pun belum memperincikan lagi butiran apa yang diumumkan, saya percaya bahawa veteran pun belum perincikan lagi.

“Sebelum bajet pun, beberapa perkara yang mereka (veteran) minta, kita dah luluskan. Daripada menuduh melulu, baik datang bincang dengan kita apa yang boleh kita bantu mereka,” katanya.

Terdahulu, Presiden Pertubuhan Suara Patriotik Rakyat Malaysia (PSPRM) Mior Rosli Mior Mohd Jaafar dipetik sebagai berkata Bajet 2023 seakan tidak memihak golongan pesara tentera.

Antara tuntutan yang dibuat sebelum ini adalah kajian semula pencen hilang upaya terhadap veteran yang cedera perang dan semasa bertugas. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

815
Previous post Kakak rebah di pusara adik
Next post 5 jagoan muaythai gegar gelanggang