MISDEC sasar pelajar sekolah sertai e-sukan

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

BATU BERENDAM 31 Julai – Pusat Pembangunan Kemahiran Perindustrian Melaka (MISDEC) bercadang untuk menarik lebih ramai pelajar sekolah menyertai kejohanan sukan elektronik (e-sukan) pada masa akan datang.

Pengerusi MISDEC, Don Mardzi Ahmad Shamsudin berkata pendekatan itu sebagai langkah untuk mempromosi dan memperkenalkan bidang-bidang yang ditawarkan di MISDEC antaranya Mechatronic.

Katanya, kejohanan e-sukan yang dianjurkan seperti Game-on ESports MISDEC merupakan penanda aras untuk pusat pembangunan kemahiran itu pergi lebih jauh.

“Kejohanan Game-on ESports MISDEC ini merupakan pertandingan yang ketiga dilakukan oleh MISDEC kali ini antara yang terbesar di mana kita menerima tajaan lebih besar daripada program sebelum ini.

“Kita juga akan mengambil peluang kolaborasi dengan Todak Academy untuk menganjurkan program atau kejohanan yang lebih besar akan datang bagi menarik lebih ramai penyertaan.

“Sebenarnya untuk bidang e-sukan ini, MISDEC tiada kepakaran khusus, sebab itu kita jalin kerjasama dengan Todak Academy yang lebih mahir, MISDEC menjadi platform pertandingan pada masa sama mempromosikan juga Todak Academy supaya peserta tahu bahawa e-sukan ini mempunyai masa depan cerah di negara ini dan bukannya kata-kata negatif daripada individu tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini pada Majlis Penutup Kejohanan Game-on ESports MISDEC di sini, semalam.

DON Mardzi

Mengulas lanjut, Don Mardzi berkata pihaknya turut bercadang untuk mengadakan pertandingan e-sukan setiap tahun dan akan mengadakan pelbagai kolaborasi dengan pihak berkaitan pada masa akan datang.

Menerusi kejohanan itu seramai 379 peserta menyertai kejohanan Game-on Esport MISDEC itu dan melibatkan 36 pasukan bagi kategori Player Unknown Battle Ground (PUBG) dan 32 pasukan bagi kategori Mobile Legend Bang Bang (MLBB).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1609
Kongsi :
Previous post Permata Rim yang bakal berkilau
Next post Pemuda maut, motosikal terbabas ke dalam longkang
Ubah saiz-+=