Misi galakan pelaburan di Jerman sasar raih RM4.5 bilion, buka 1,000 peluang pekerjaan

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

SERI NEGERI 14 Jun – Misi Galakan Pelaburan Kerajaan Negeri ke Jerman 27 Mei hingga 5 Jun lalu, disasarkan akan membawa pulangan pelaburan berjumlah RM4.5 bilion.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, jumlah itu dijangka diterima menerusi pelaburan daripada tiga syarikat Jerman sedia ada yang beroperasi di Melaka dan tiga lagi syarikat baharu.

Menurut beliau, antara pelaburan terbesar yang diterima ialah daripada Infineon Technologies GmbH iaitu syarikat yang telah bertapak lebih 50 tahun di Melaka yang bercadang mengembangkan operasi melibatkan kos RM3.2 bilion.

Selain itu, katanya, dua buah lagi syarikat Jerman iaitu Muehlbauer ID Services GmbH dan Leuze Electronic GmbH turut bercadang menambah pelaburan masing-masing melibatkan anggaran nilai RM200 juta.

“Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah mengadakan perbincangan dengan tiga lagi syarikat baharu dari Jerman yang belum boleh didedahkan yang mana secara keseluruhan nilai yang diterima dianggarkan berjumlah RM4.5 bilion.

“Ia juga dijangka membuka hampir 1,000 peluang pekerjaan di Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pasca Mesyuarat Exco Mingguan di Bilik Mesyuarat Tun Bija Sura, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Badaruddin Mohd Kassim; Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Melaka Datuk Datuk Ir. Ismail Abd Rahman dan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Negeri Melaka Sa’ari Basiron.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1328
Kongsi :
Previous post Melaka cadang wujudkan Taman Perindustrian Jerman
Next post Melaka umum kenaikan emolumen 1,422 guru Kafa Jaim
Ubah saiz-+=