Melaka umum kenaikan emolumen 1,422 guru Kafa Jaim

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

SERI NEGERI 14 Jun – Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan tambahan bernilai RM3.49 juta setahun bagi kenaikan emolumen 1,422 guru Kelas Al Quran dan Fardu Ain (Kafa) Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) bermula Mei tahun ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, peruntukan tersebut akan ditanggung Kerajaan Negeri bersama Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menerusi kontrak khas dan penyelarasan elaun perkhidmatan.

Katanya, berdasarkan jumlah tersebut, kesemua guru terbabit akan menerima emolumen sekurang-kurangnya RM1,500 berdasarkan kadar gaji minimum yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan.

“Seramai 505 guru SRA JAIM lantikan selepas tahun 2016 akan menerima emolumen secara pukal sebanyak RM1,500 sebulan iaitu kenaikan sebanyak RM500 sebulan berbanding sebelum ini RM1,000.

“Seramai 917 guru SRA JAIM lantikan sebelum tahun 2016 akan menerima emolumen secara pukal mengikut emolumen akhir yang diterima pada tahun 2023 sekurang-kurangnya RM1,500 sebulan.

“Garis panduan, syarat dan terma perkhidmatan ditetapkan oleh JAIM dan Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) Jabatan Ketua Menteri Melaka (JKMM),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pasca Mesyuarat Exco Mingguan di Bilik Mesyuarat Tun Bija Sura, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Badaruddin Mohd Kassim; Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Melaka Datuk Datuk Ir. Ismail Abd Rahman dan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Negeri Melaka Sa’ari Basiron.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata keputusan itu dibuat bagi memberi rangsangan kepada semua guru terbabit dalam memberikan perkhidmatan cemerlang demi mendidik pelajar beragama Islam di negeri ini.

“Keputusan Kerajaan Negeri berdasarkan justifikasi untuk sentiasa mengambil langkah memperkasakan pendidikan agama Islam dan menjaga kebajikan guru agama.

“Pelantikan secara kontrak khas Kerajaan Negeri adalah bagi menyelesaikan isu status pelantikan guru SRA JAIM yang tidak diperakukan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), selain memastikan emolumen yang diterima guru SRA JAIM mematuhi kadar gaji minimum yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2798
Kongsi :
Previous post Misi galakan pelaburan di Jerman sasar raih RM4.5 bilion, buka 1,000 peluang pekerjaan
Next post KONPES martabat Bahasa Melayu di mata dunia
Ubah saiz-+=