Mohd Redzuan dilantik Pengerusi Boustead Holdings yang baharu

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

KUALA LUMPUR 4 Jan – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan dilantik sebagai pengerusi bebas bukan eksekutif baharu Boustead Holdings Bhd.

Pelantikan beliau bagi mempercepatkan agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) syarikat itu untuk tahun 2022.

Pengarah Urusan Kumpulan Boustead, Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly berkata syarikat itu berbesar hati atas pelantikan Mohd Redzuan dan meyakini pengalaman dimiliki dalam bidang korporat akan mempertingkatkan prestasi Boustead.

“Kami berharap di bawah kepimpinan Mohd Redzuan, beliau akan memenuhi matlamat strategik kami selaras dengan strategi Reinventing Boustead untuk mempercepatkan prestasi keseluruhan untuk meningkatkan dan memaksimumkan nilai pemegang saham serta melindungi kepentingan pemegang saham kami terutamanya Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) sebagai pemegang saham majoriti kami,” katanya memetik laporan Bernama.

Mohd Redzuan, 64 yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Kejuruteraan Awam dari University of Leeds, United Kingdom memulakan kerjaya cemerlangnya sebagai jurutera dengan ESSO Malaysia Sdn Bhd, seterusnya berkhidmat di Petronas Carigali Sdn Bhd.

Antara jawatan penting yang pernah dipegangnya termasuk pengarah eksekutif (ED) Swiber Marine (M) Sdn Bhd serta Wakil Negara untuk Swiber Holdings Ltd, Singapura; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Module Tech Sdn Bhd, ED Kumpulan Syarikat Gagnar dan ED Kumpulan Syarikat Orbtech.

Beliau juga Pengarah Bukit Fraser Thermal Technologies Sdn Bhd; Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Gagnar, Marginal Field Solutions Sdn Bhd dan Seahorse Platforms Asia Sdn Bhd.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1436
Kongsi :
Previous post Tiga beradik terjejas banjir, bot fiber jadi penyelamat
Next post Penguasa kanan SPRM didakwa pecah amanah US$6.94 juta
Ubah saiz-+=