Penguasa kanan SPRM didakwa pecah amanah US$6.94 juta

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

KUALA LUMPUR, 4 Jan – Seorang Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan pecah amanah wang berjumlah US$6.94 juta.

Shahrum Nizam Baharuddin, 41, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Shahrum Nizam didakwa sebagai penjawat awam iaitu Penguasa Kanan SPRM Gred P44 yang diamanahkan dengan penguasaan wang berjumlah US$6.94 juta (hampir RM30 juta), telah melakukan pecah amanah terhadap wang berkenaan.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Bilik Ketua Cawangan Tindakan Khas (CTK), Aras 14, Blok C, Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya antara 17 Dis 2018 dan 9 April 2019.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun dengan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Wan Shaharuddin Wan Ladin membantah jaminan diberikan ke atas tertuduh atas alasan kesalahan dilakukan tertuduh serius kerana melibatkan jumlah wang yang besar selain kes ini mendapat liputan media yang luas.

“Bagaimanapun, jika mahkamah membenarkan ikat jamin, saya mohon jaminan RM10 juta dengan tiga orang penjamin diberikan terhadap tertuduh,” katanya yang mengendalikan kes bersama TPR Datuk Faridz Gohim Abdullah dan Mahadi Abdul Jumaat.

Menurut Wan Shaharuddin, tertuduh juga akan didakwa atas 101 pertuduhan pengubahan wang haram dalam masa terdekat.

Peguam K. Ponnusamy yang mewakili Shahrum Nizam memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya yang masih bertugas sebagai penjawat awam tidak mempunyai risiko melarikan diri dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa sepanjang siasatan.

“Selain itu, anak guam saya sudah berkahwin dan mempunyai dua anak selain mengalami masalah kesihatan iaitu sakit tulang belakang (slip disk) serta kanser hidung,” kata peguam itu.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 18 Feb ini untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, SPRM mengesahkan penahanan tiga pegawainya bagi membantu siasatan dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Datuk Hasanah Abdul Hamid.

Pada 12 April 2021, Mahkamah Tinggi di sini melepas tanpa membebaskan Hasanah daripada pertuduhan melakukan pecah amanah US$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan Malaysia.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

767
Kongsi :
Previous post Mohd Redzuan dilantik Pengerusi Boustead Holdings yang baharu
Next post Wartawan Sin Chew Daily Kedah meninggal dunia
Ubah saiz-+=