Mohd Ridhwan calon anak tempatan, faham kehendak warga Hang Tuah Jaya
BUKIT KATIL 2 November – “Saya meletakkan ketakutan serta kepentingan peribadi di tepi kerana berparti memerlukan kita untuk berada di hadapan demi mempertahankan suara dan mandat rakyat”.
Itu pendirian calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali yang sedia menyahut cabaran merampas semula kerusi parlimen berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Menurutnya, tiada keperluan untuk berasa gentar bertanding di kawasan yang dianggap kubu kuat parti tertentu, kerana baginya sebagai anak jati, beliau lebih mengetahui kehendak rakyat di kawasan itu.
“Saya sahut cabaran ini kerana rasa takut, gelisah dan sebagainya muncul sekiranya kita tidak bersedia dan tidak membuat sebarang kerja.
“Setiap calon ada kekuatan dan kelebihan sendiri, calon adalah wakil kepada parti, jadi kita perlu lihat kepada ‘track record’ yang mana hampir 10 tahun parti lain memegang Parlimen ini tetapi tidak banyak dapat mereka lakukan walaupun wakil itu dari Negeri Melaka,
“Jadi apatah lagi calon ini datang daripada luar, sudah tentu dia tidak memahami selok belok dan juga apa yang dihadapi masyarakat pada hari ini terutamanya dalam kawasan Hang Tuah Jaya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat UMNO Bahagian Bukit Katil di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Ridhwan berkata, selepas PRU-14 beliau sentiasa meneruskan kesinambungan BN dengan mendekati rakyat pada setiap masa.
“Di peringkat BN Hang Tuah Jaya selama empat tahun ini kita sudah buat segalanya termasuk mendekati rakyat, kita dalam kesiapsiagaan dan semangat yang tinggi.
“Untuk BN Hang Tuah Jaya setiap ahli pasukan kita telah melaksanakan yang terbaik dan kita percaya rakyat akan bersama kita,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.