PRU15: Kazim Elias tarik diri di Larut, diganti Mohd Shafiq Fhadly Mahmud

Masa Membaca:2 Minit, 5 Saat

IPOH, 2 Nov – Ketua Koordinator Komunikasi Barisan Nasional (BN) Mohd Shafiq Fhadly Mahmud diumum sebagai calon parti itu bagi kerusi Parlimen Larut pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), menggantikan pendakwah bebas Datuk Mohammad Kazim Elias.

Perkara itu diumumkan Pengerusi BN negeri Datuk Seri Saarani Mohamad pada majlis pengumuman calon BN Perak bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

“Pertukaran ini kerana Ustaz Kazim menarik diri di saat akhir,” katanya.

Dalam ucapan pengumuman calon itu, Saarani yang bakal mempertahankan kerusi DUN Kota Tampan berkata tanggungjawab dan amanah kepada parti bukan sekadar sebagai calon tetapi juga apabila tidak dicalonkan.

“Matlamat bukan sahaja jadi calon tapi menang PRU. Perjuangan kita kembali jadi kerajaan Negeri Perak… kerajaan BN. Yang ingin kita laungkan adalah lambang dacing.

“Bermakna yang hendak kita turun padang pujuk rayu, lihat lambang dacing, lagi banyak undi lagi mudah menang,” katanya.

Saarani berkata BN akan bertanding di kesemua 24 kerusi Parlimen dan 59 kerusi DUN pada PRU15.

Selain Saarani, daripada UMNO, BN turut menampilkan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia negeri  Ahmad Saidi Mohamad Daud bagi DUN Changkat Jering, Pengerusi Infrastruktur Awam, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Datuk Mohd Zolkafly Harun (Lintang) serta bekas pemain bola sepak Perak yang kini Ketua Umno Bahagian Tapah Ishsam Shahruddin (Ayer Kuning).

Antara calon MCA yang diketengahkan pula ialah Ang Sui Eng (Pokok Asam), Pan Chean Chang (Jalong) dan Woo Kok Toong (Canning).

Dalam sidang akhbar kemudiannya, Saarani berkata BN belum menamakan calon di empat kerusi DUN iaitu Aulong, Jelapang, Sungkai dan Buntong kerana masih perlu berbincang di peringkat komponen sebelum membuat sebarang keputusan.

“Aulong ini asalnya daripada parti Gerakan, jadi di peringkat komponen masih lagi belum bincang siapa yang akan diberikan kerusi itu. MIC belum beri nama di Buntong, Jelapang dan Sungkai. Akan diumumkan kemudian apabila ada nama,” katanya.

Mengulas mengenai calon, Saarani berkata BN membariskan calon-calon yang membentuk kepelbagaian latar belakang selain muka baharu berikutan ada penyandang yang tidak mahu bertanding atau tidak dipilih semula.

“Sebahagian tidak disambung. Ada yang tarik diri. Ada juga keputusan parti (tidak menamakan semula),” kata beliau.

Saarani sebelum ini dilapor berkata BN Perak menyasarkan memenangi sekurang-kurangnya 40 kerusi DUN dan 15 kerusi Parlimen pada PRU15.

DUN Perak mempunyai 59 kerusi. Sebelum pembubaran pada 17 Okt, ia  terdiri daripada 25 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN, DAP (15), Parti Amanah Negara (lima), Bersatu (empat) manakala PAS, PKR dan Parti Bangsa Malaysia (PBM)  masing-masing tiga manakala Bebas (satu).

— BERNAMA

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2052
Kongsi :
Previous post Mohd Ridhwan calon anak tempatan, faham kehendak warga Hang Tuah Jaya
Next post ‘Poghut’ satukan keluarga Dun Ayer Limau
Ubah saiz-+=