MOT kaji, teliti punca kemalangan dua tren LRT

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

KUALA LUMPUR 26 Mei – Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang meneliti secara terperinci berhubung persepsi yang semakin meluas bahawa ‘kecuaian manusia’ punca berlakunya kemalangan membabitkan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) Kelana Jaya, kelmarin.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menegaskan ‘faktor manusia’ hanya satu daripada aspek dalam siasatan kerana banyak lagi faktor keseluruhan teknikal dan operasi turut diteliti.

Menurutnya, Jawatankuasa Siasatan yang terdiri daripada sembilan kakitangan diketuai Ketua Setiausaha MOT, Datuk Isham Ishak sudah memulakan siasatan dari pelbagai aspek, termasuk berkaitan kecuaian manusia.

“Kami juga menegaskan bahawa seorang kakitangan (hostler) yang terlibat dalam kejadian itu telah disahkan negatif dadah oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 25 Mei (semalam).

“Individu tersebut wajar diberi hak bagi memudahkan siasatan tanpa rumusan awal.

“Oleh itu, saya dan Jawatankuasa Siasatan menggesa orang ramai agar bersabar dan tidak mensensasikan sesuatu berita tidak tepat serta memberikan ruang kepada Jawatankuasa Siasatan melakukan siasatan mengikut tertib,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Wee, siasatan akan terus dilakukan untuk melihat bagaimana dan mengapa halangan keselamatan dilanggar sehingga menyebabkan insiden tersebut berlaku.

“Ini termasuk memberi cadangan keselamatan sepenuhnya untuk mengelakkan kejadian sama berulang.

“Keselamatan sistem pengangkutan LRT sebagai kepentingan awam tidak boleh dikompromi, justeru aspek keselamatan mesti menjadi perkara utama.

“Jawatankuasa Siasatan juga akan meminta pandangan pihak luar yang memiliki kepakaran masing-masing supaya dapat membantu melengkapkan laporan akhir,” katanya lagi.

Terdahulu beliau melawat mangsa tragedi di Hospital Kuala Lumpur (HKL) bersama Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa semalam untuk mendapatkan taklimat oleh Ketua Pengarah HKL, Datuk Dr Heric Corray mengenai keadaan mangsa di bawah jagaan mereka.

Beliau berkata, mangsa telah diberikan penjagaan perubatan yang sangat baik oleh kira-kira 300 kakitangan HKL dari pelbagai jabatan.

“Seramai 67 mangsa dirawat di HKL yang mana 61 orang telah discaj. Pada masa ini, enam mangsa masih dalam rawatan dengan tiga mangsa di bawah zon kritikal.

“Kami sekali lagi melahirkan rasa simpati terhadap mangsa dan keluarga mangsa serta mendoakan agar mangsa segera sembuh.

“MOT akan terus berhubung dengan pihak hospital untuk mendapatkan perkembangan mangsa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

380
Kongsi :
Previous post ‘Moga ada sinar buat adik Izz Rizqy’
Next post PKP 3.0 tidak jejas persiapan MUFC
Ubah saiz-+=