MPHTJ gempur ‘port’ sampah longgok

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

AYER KEROH 7 Mac – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) giat melaksanakan operasi pembersihan khas sektor perindustrian, komersial dan keinstitusian (ICI) di kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Yang Dipertua MPHTJ, Datin Sapiah Haron berkata, operasi yang bermula pada minggu lalu menjadikan kawasan perindustrian Malim Jaya menjadi lokasi pertama bagi kerja-kerja pembersihan dan pemutihan sampah longgok.

“Kita lakukan operasi khas ini di lokasi tumpuan yang kerap berlaku banjir, pembersihan dilakukan untuk mengelakkan daripada sisa sampah longgok atau sisa domestik ini masuk ke dalam longkang apabila hujan dan seterusnya mengakibatkan longkang tersumbat.

“Operasi ini juga kita laksanakan secara bersepadu bersama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (SWCorp) serta SWM Environment Sdn Bhd,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Sapiah berkata, selain kawasan perindustrian pihaknya akan turut menyasarkan kawasan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), medan selera dan premis penjaja kecil sebagai lokasi sasaran yang mana ia akan dilakukan setiap dua minggu sekali.

“Dalam tempoh dua bulan ini, kita fokus kepada kawasan perindustrian, bulan seterusnya pula kita akan fokus kepada pembersihan di setiap medan selera di bawah MPHTJ.

“Seterusnya, turut disasarkan operasi pembersihan di kawasan premis makanan, penjaja bagi mengelakkan haiwan perosak seperti tikus, lipas dan sebagainya membiak di kawasan perniagaan.

“Kita mahu MPHTJ sentiasa bersih dan ini juga adalah usaha ke arah Tahun Melawat Melaka 2024 bagi memastikan Melaka kekal bersih untuk menyambut pelancong,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1700
Kongsi :
Previous post Isu darurat banjir antara dibangkit di Dewan Rakyat hari ini
Next post Dondang Sayang Melaka ‘pukau’ penduduk Yala, Thailand
Ubah saiz-+=