MPHTJ perbandaran paling mampan di Malaysia

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

PUTRAJAYA 8 November – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) sekali lagi dinobatkan sebagai penerima Anugerah Bandar Mampan Kategori Perbandaran bagi Tahun 2021.

Penganugerahan itu disampaikan bersempena Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia tahun 2022 di Putrajaya di sini, hari ini.

MPHTJ meraih tempat ketiga di antara 127 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam Malaysia yang menyertai anugerah tersebut, sekali gus diiktiraf sebagai PBT Perbandaran Paling Mampan di Malaysia.

Anugerah itu diraih hasil usaha pembangunan persekitaran kehidupan yang mampan khususnya melibatkan kawasan pentadbiran Hang Tuah Jaya.

Kejayaan itu melayakkan MPHTJ menerima wang tunai RM3,000, trofi dan sijil penghargaan.

Anugerah itu telah disampaikan Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk M Noor Azman Taib kepada Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Datuk Zaidi Attan dan diiringi Yang Dipertua MPHTJ Datuk Shadan Othman.

Untuk rekod, pengukuran Bandar Mampan di Malaysia dilaksanakan berasaskan kerangka MURNInets yang mengandungi lima strategi, enam dimensi, 20 tema dan 39 penunjuk yang dibentuk berdasarkan dasar pembangunan utama negara berkaitan dengan ekonomi, sosial dan fizikal.

Pelaksanaan MURNInets itu disertai 127 Pihak Berkuasa Perancangan Tempatan di Malaysia yang dipilih atas penilaian bandar mampan.

Manakala sebanyak 94 penyertaan pula, diterima melalui kategori individu, komuniti dan PBT untuk Anugerah Kejiranan Hijau.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2523
Kongsi :
Previous post MetMalaysia keluar amaran ribut petir di tujuh negeri
Next post RM70 juta untuk 332 projek mitigasi banjir di Melaka
Ubah saiz-+=