RM70 juta untuk 332 projek mitigasi banjir di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

AYER MOLEK 8 November – Sebanyak 332 Projek Mitigasi Banjir membabitkan nilai hampir RM70 juta sudah dilaksanakan Kerajaan Negeri bagi mengatasi masalah banjir di Melaka.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, daripada jumlah projek yang dijalankan sejak Januari hingga sekarang itu, 90 peratus pemasalahan banjir di 124 kawasan ‘hotspot’ banjir dapat diselesaikan.

Beliau berkata, bagi mengurangkan risiko banjir di Melaka, agensi kerajaan termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengambil tindakan dan perancangan secara jangka sederhana, pendek dan untuk tempoh panjang.

“Selain projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) bernilai hampir RM1 bilion yang telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan, di peringkat Melaka juga kita membuat kerja mitigasi banjir, membabitkan kira-kira RM70 juta.

“Untuk menyelesaikan masalah banjir secara jangka panjang pula,JPS sudah merancang beberapa projek RTB dan yang dalam pelaksanaan kini membabitkan empat kawasan iaitu RTB Alor Gajah Fasa I, RTB Sungai Duyong, RTB Bandar Jasin, RTB Bandar Merlimau dan juga naik taraf kolam tambatan banjir di Krubong-Durian Tunggal, sebagai kolam dwi fungsi,” katanya ketika sidang media di Japerun Ayer Molek, hari ini.

Rahmad berkata, meskipun pihaknya sudah mengambil tindakan dan penyelesaian ke atas kesemua kawasan ‘hotspot’ banjir namun terdapat 24 lagi kawasan baharu dikenal pasti.

“Untuk kesemua kawasan baharu ini, kerja-kerja juga sudah dijalankan namun kos keseluruhan belum diperoleh.

“JPS kini juga dalam proses membeli tiga buah ‘portable’ pam bernilai RM1.2 juta yang mana ia boleh digerakkan pada bila-bila masa ke kawasan banjir dan dijangka akan diperoleh pada awal tahun hadapan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, terdapat dua jawatankuasa ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri iaitu Jawatan Pengurusan Banjir Negeri Melaka dan Task Force Hotspot Negeri Melaka.

“Jawatankuasa kuasa ini terdiri daripada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) sama ada kerajaan mahupun bukan.

“Penubuhan jawatankuasa ini menunjukkan bertapa seriusnya Kerjaaan Negeri dalam menangani isu banjir yang berlaku,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1973
Kongsi :
Previous post MPHTJ perbandaran paling mampan di Malaysia
Next post Bendera parti disabotaj di kawasan Kota Melaka
Ubah saiz-+=