MPHTJ turunkan sepanduk yang boleh undang kejadian tidak dingini

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

MELAKA 16 Nov – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) menurunkan sekurang-kurangnya lima sepanduk parti politik sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sejak 8 Nov lepas kerana menyalahi peraturan berkempen.

Yang Dipertua MPHTJ Datuk Shadan Othman berkata tindakan tersebut diambil, kerana bahan kempen berkenaan mampu menimbulkan insiden tidak diingini dalam kalangan masyarakat.

“Kita akan teruskan pemantauan agar tiada sepanduk sebegini dipasang lagi oleh pihak tidak bertanggungjawab. Kita tidak mahu sebarang insiden berlaku ketika PRN Melaka ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Menurutnya setakat ini tiada kompaun dikeluarkan berkaitan sepanduk berkenaan, selain tindakan menurunkan bahan kempen yang menghalang pandangan lalu lintas juga dilakukan di beberapa tempat dan kawasan.

“Selain menurunkan bendera, ada satu papan iklan kempen bersaiz 0.9 x 1.5 meter yang dipasang di simpang keluar di Taman Ara Batu Berendam diturunkan baru-baru ini atas isu keselamatan dan aduan orang ramai.

“Yang lain-lain, pihak parti sendiri yang mengalih dan menurunkannya selepas diarahkan oleh penguat kuasa,’’ katanya.

Shadan berkata penguat kuasa MPHTJ dan penguat kuasa kempen pilihan raya juga telah memberi nasihat dan notis arahan kepada jentera kempen parti yang masih memaku poster calon mereka di pokok-pokok milik majlis serta di kawasan yang dilarang.

“Kita harap mereka (jentera kempen parti) mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dan sekiranya bahan kempen tersebut menghalang lalu lintas atau mengancam keselamatan pengguna, penguat kuasa kita tidak teragak-agak mengambil tindakan,” katanya. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

993
Kongsi :
Previous post BN bangunkan sebuah IPT di DUN Lendu
Next post PRN Melaka: 86 peratus pengundi awal selesai tunai kewajipan setakat jam 4 petang
Ubah saiz-+=