
MPJ ADAKAN OPERASI KAWALAN GANGGUAN LALAT BERSEPADU
JASIN 2 Mei – Sebuah ladang ternakan ayam di sini yang beroperasi tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan telah dikenakan tindakan kompaun oleh Majlis Perbandaran Jasin (MPJ).
Setiausaha MPJ, Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari berkata hasil siasatan yang dilakukan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Jasin dan Jabatan Veterinar mendapati terdapat ladang ternakan ayam berhampiran dipercayai tidak mematuhi garis panduan atau SOP pengurusan sisa tinja dan bangkai ayam.
Katanya, tindakan terbabit dipercayai telah menyebabkan gangguan lalat di sekitar kawasan penempatan penduduk di sekitar kawasan Selandar dan Simpang Bekoh.
“Tujuan operasi kawalan lalat ini telah diketuai oleh Pejabat Kesihatan Daerah Jasin (PKDJ) dibantu MPJ dan Jabatan Veterinar yang mana tujuan utama PKDJ adalah untuk mengenal pasti punca habitat manakala MPJ mengawal kacau ganggu lalat di kawasan sekitar.
“Kita laksanakan operasi kawalan lalat baru-baru ini kerana ada di antara penduduk mengadu ketidakselesaan apabila diganggu lalat, bau busuk dan ada diantara mangsa dikhuatiri mengalami keracunan makanan.
“MPJ telah mengeluarkan kompaun di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Kebersihan Awam 1983 kepada ladang ternakan ayam yang dipercayai menyebabkan punca tersebut,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Zahiruddin turut menasihati pihak terbabit untuk mengambil beberapa langkah penambahbaikan untuk keselesaan penduduk sejagat.
“Kita mencadangkan agar semua ladang ayam untuk beroperasi secara tertutup (close house) dan berteknologi tinggi serta mematuhi garis panduan kawalan yang telah ditetapkan oleh Jabatan Veterinar.
“Selain itu, kita minta untuk ladang ayam itu untuk mengikup SOP yang telah ditetapkan oleh agensi yang berkaitan agar perkara sebegini tidak berulang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.