MRC sasar setengah juta pengunjung hingga hujung tahun

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

TAMAN REMPAH 19 Feb. – Melaka River Cruise (MRC) menyasarkan 500,000 pengunjung bakal menggunakan perkhidmatan itu sehingga hujung tahun ini selepas dibenarkan beroperasi semula mulai hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Datuk Murad Husin berkata, bagaimanapun hanya 50 peratus pengunjung daripada jumlah yang sebenar boleh menaiki bot itu.

MURAD…sasar setengah juta pengunjung menggunakan perkhidmatan Melaka River Cruise sehingga hujung tahun ini.

“Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kita benarkan separuh saja jumlah pengunjung bagi mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Jika tempat duduk bot 40 orang, maka hanya 20 orang sahaja yang boleh menaiki bot, begitu juga di kawasan menunggu yang disediakan buat pengunjung,” katanya.

Jelasnya, pembukaan MRC sudah pasti dapat membantu menggalakkan lagi sektor-sektor perniagaan di kawasan berhampiran.

Petugas Melaka River Cruise mengambil suhu badan pengunjung sebelum dibenar menaiki bot pelancongan itu.

“Kita harap aktiviti ekonomi di Negeri Melaka khususnya secara keseluruhan melibatkan sektor pelancongan dapat bergerak semula selepas ini.

“Dalam masa yang sama kita juga harap agar kebenaran rentas daerah boleh dibenarkan walaupun dalam negeri Melaka sahaja,” katanya lagi.

Januari tahun lalu 74,000 pengunjung dicatatkan dengan pendapatan RM1.6 juta.
Difahamkan setakat Januari lalu, 34,000 pengunjung RM705,000. penurunan sebanyak 58 peratus.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

546
Kongsi :
Previous post Lelaki tertua Kampung Bahagia di Kelantan dakwa berusia 120 tahun
Next post PKPB: Dilema abang bas
Ubah saiz-+=