PKPB: Dilema abang bas

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

PERINGGIT 19 Feb. – “Biarpun Melaka kini di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kami berharap dibenarkan untuk merentas negeri bagi menarik lebih ramai penumpang yang boleh menggunakan perkhidmatan kami,” luah P. Muniswaran, 47, antara pemandu bas ekspres yang terjejas sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Menurutnya, kebanyakan trip perjalanan antara negeri terpaksa ditunda disebabkan pintu sempadan daerah dan negeri masih ditutup, selain hanya menerima beberapa penumpang sahaja yang mempunyai surat kebenaran polis, setiap hari.

MUNISWARAN

Katanya, pernah satu ketika hanya ada empat penumpang saja dan trip itu terpaksa ditunda disebabkan merugikan untuk perjalanan dari Melaka ke Utara.

“Bila syarikat terpaksa membatalkan trip perjalanan, maka gaji kami pun akan terkesan kerana kami bukan saja bergantung kepada gaji pokok malah bayaran setiap trip perjalanan.

“Saya harap PKPB kali ini mampu memberi peluang kepada semua sektor terutama pelancongan Melaka yang beroperasi semula dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang sangat ketat,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Tinjauan Melaka Hari Ini di Melaka Sentral mendapati suasana lengang di balai pelepasan antara negeri dengan hanya 15 penumpang sedang menunggu ketibaan bas masing-masing.

Keadaan itu juga menjadikan hanya dua kaunter tiket berpusat beroperasi dan rata-rata kaunter tiket elektronik ditutup sementara.

SUBRAMANIAM

Sementara itu M. Subramaniam, 63, berharap ‘kesengsaraan’ yang dihadapi pemandu sepertinya terus diberi perhatian oleh kerajaan disebabkan hilang punca pendapatan.

“Sepanjang hidup ini kali pertama saya hadapi situasi seperti ini sehinggakan kadangkala tidak bekerja disebabkan banyak trip yang ditunda.

“Jika sebelum ini dalam sebulan saya mampu membawa lebih 15 trip perjalanan pergi dan balik serata negeri terutama ke Utara, namun sekarang tidak sampai 10 perjalanan dalam sebulan,” katanya yang hampir 25 tahun menjadi pemandu bas ekspres.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

563
Kongsi :
Previous post MRC sasar setengah juta pengunjung hingga hujung tahun
Next post Melaka mohon kelonggaran rentas daerah
Ubah saiz-+=