Melaka mohon kelonggaran rentas daerah

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

AYER KEROH 19 Feb. – Kerajaan negeri memohon pertimbangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya penduduk di negeri ini diberi kelonggaran untuk bergerak merentas daerah.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, permohonan itu bertujuan memperkasa semula ekonomi negeri apabila kebanyakan sektor terutamanya pelancongan dibenarkan beroperasi susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula hari ini sehingga 4 Mac depan.

Menurutnya, sebagai sebuah negeri kecil dan hanya mempunyai tiga daerah, Melaka masih menghadapi kesukaran untuk memulihkan ekonominya jika hanya bergantung kepada penduduk di setiap daerah.

“Kita memohon pertimbangan MKN agar Melaka menjadi seperti Perlis, di mana Melaka negeri yang kecil dan mampu mengawal situasi pandemik COVID-19.

“Selain itu, dengan kebenaran rentas daerah ini juga, kerajaan negeri dapat mengaktifkan semula Kempen Orang Melaka Melawat Melaka (Melakan Visit Melaka) 3.0 yang mana melalui kempen ini rakyat negeri ini dapat memberi sokongan dengan melawat tempat-tempat pelancongan.

“Saya percaya orang Melaka mampu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan memandangkan pada PKP lalu Melaka di tangga ketiga tertinggi kadar pematuhan SOP dengan 98 peratus,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media di pejabat Bahagian Promosi Pelancongan (BPP), di sini, hari ini.

Hadir sama Pengurus Besar BPP Melaka Sha’ari Basiron.

Muhammad Jailani turut meminta semua pengusaha pelancongan agar terus memantau dan memastikan pengunjung sentiasa mematuhi SOP ditetapkan bagi memastikan tiada lagi sekatan terhadap sektor pelancongan pada masa akan datang.

Selain itu, beliau turut berharap kesemua agensi kerajaan negeri agar menganjurkan aktiviti berkaitan mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran (MICE) di hotel-hotel yang ada di negeri ini bagi memberi sokongan kepada sektor perhotelan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

744
Kongsi :
Previous post PKPB: Dilema abang bas
Next post Mkini Dotcom didenda RM500,000 kerana hina mahkamah
Ubah saiz-+=