MUFC ‘berkampung’ di Paya Rumput

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

PAYA RUMPUT 18 Jun – Kelab Bolasepak Melaka United (MUFC) akhirnya mendapat ‘lampu hijau’ daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk memulakan kem latihan berpusat bermula hari ini.

Pengurus Pasukan, Muhammad Akram Abdullah berkata, kem latihan itu akan diadakan selama dua minggu bertempat di Paya Rumput serta sesi latihan di Stadium Hang Jebat, yang mana ia akan mengumpulkan semua pemain untuk menjalani latihan berpusat dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Katanya, ketetapan itu juga tiba tepat pada masanya, apabila kesemua pemain skuad Hang Tuah serta staf kejurulatihan sudah mula menerima suntikan vaksin di Hospital Jasin, baru-baru ini.

“Pihak MUFC telahpun membuat ketetapan untuk pasukan memulakan latihan berpusat bermula Jumaat (18 Jun) selepas mendapat kebenaran daripada pihak MFL untuk memulakannya.

“Bagi kami masih belum terlewat untuk memulakan latihan berpusat memandangkan pasukan telah mula menerima vaksin COVID-19 seperti mana yang telah disyaratkan oleh pihak MFL,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Akram turut menzahirkan harapan agar kem latihan itu dapat membentuk keserasian antara pemain sedia ada dengan pemain baharu yang ditandatangani pada jendela perpindahan kedua sebelum ini.

Katanya, ia penting dalam usaha membantu MUFC mencipta kemenangan demi kemenangan dan seterusnya memperbaiki kedudukan dalam saingan Liga Super yang akan disambung 24 Julai depan.

“Semoga pemain dapat menjaga kesihatan dan kembali berlatih bersungguh-sungguh bagi memperbaiki kedudukan pasukan dalam liga sebaik ia bersambung Julai depan, Insya-Allah.

“Kepada penyokong, teruskan sokongan buat Melaka United dan doakan kejayaan kami,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

599
Kongsi :
Previous post Penjara, denda jika tangkap burung pangling
Next post Solat sunat ‘kunci’ cemerlang STAM
Ubah saiz-+=